PETALING JAYA: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Dream melangkah ke separuh akhir saingan bawah 13 tahun Piala Supermokh selepas seri tanpa jaringan menentang wakil Thailand, Chonburi FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Gambang, Pahang hari ini.
Itu bermakna, skuad muda negara bimbingan Ekhsan Bukharee Badarul Hisham muncul juara kumpulan dengan tujuh mata, meninggalkan Chonburi FC (empat mata) di tangga kedua.
AMD Dream yang mengekalkan rekod tanpa kalah dengan dua kemenangan dan satu seri kini akan berdepan naib juara Kumpulan B, Evergrande Football School dari China.
Wakil Poland, KSS Lech Poznan FC yang muncul juara Kumpulan B dengan memenangi kesemua tiga perlawanan mereka akan bertemu Chonburi FC. Kedua-dua saingan separuh akhir akan berlangsung esok.
“Saya meletakan harapan tinggi kepada AMD Dream. Melihat kepada rekod cemerlang pasukan yang tidak kalah dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, tidak mustahil kita boleh melayakkan diri ke final,” kata Ekhsan Bukharee.

Sementara itu, pengendali Evergrande, Sun Weirong berkata, pasukannya akan memberikan tentangan habis-habisan kepada AMD Dream esok bagi memburu tiket ke pentas akhir.
Weirong turut memuji aksi yang ditampilkan pemainnya dalam perlawanan terakhir Kumpulan B hari ini selepas menumpaskan Hong Kong FA 3-1.
“Pemain beraksi dengan sangat baik dan sudah semestinya saya bangga dengan aksi-aksi anak didik saya.
“Kami memanfaatkan peluang yang ada dengan jaringan gol dan akan terus memberikan saingan yang lebih sengit untuk aksi dipentas separuh akhir nanti,” katanya. – UTUSAN