United nafi lindungi Antony

United nafi lindungi Antony

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester United menafikan dakwaan kelab tersebut berusaha untuk menutup dakwaan serangan Antony terhadap bekas teman wanitanya, Gabriela Cavallin.

Pemain sayap bernilai 85 juta pound (RM496 juta) itu menafikan menyerang Cavallin dan berikrar untuk membersihkan namanya selepas disoal siasat oleh polis di Brazil.

Polis Awam Sao Paulo sedang menyiasat dakwaan serangan bersama Polis Greater Manchester selepas Cavallin menuduh bintang Brazil itu melakukan beberapa kali pencerobohan fizikal terhadapnya.

“Sebarang tuduhan yang mengatakan kelab menutup dakwaan ini adalah palsu,” kata United dalam satu kenyataan.

Selepas dakwaan itu tersebar pada Isnin lalu, Anthony tampil mempertahankan diri dan berkata, polis sedang melakukan siasatan untuk mendedahkan bahawa dia tidak bersalah.

United juga menegaskan, mereka akan bekerjasama ­dengan pihak polis.

Menurut peguam yang mewakili Cavallin, Daniel Bialski, pada malam kejadian di Hotel Hyatt Regency, Manchester selepas Antony membelasah Gabriela sehingga payudara silikonnya rosak, pemain itu mendapatkan bantuan United.

Antony didakwa menghubungi seseorang di kelab itu, dan mereka menghantar pegawai bernama Daniel Bertolli. Dia dipercayai pegawai khas kelab untuk membantu pemain yang memerlukan bantuan.

Ini termasuk menutup kesalahan pemain yang boleh menjejaskan imej kelab.

Bertolli juga mendapatkan dua pakar perubatan untuk membantu Cavalin yang dirawat di hotel.

Gabriela Cavallin

Dalam laporan polis yang dibuat oleh Cavalin, dia mendakwa empat serangan telah dilakukan Antony dan insiden di Hotel Hyatt Regency pada 15 Januari lalu hanya salah satu daripadanya.

Antony dalam kenyataan di media sosial menafikan semua dakwaan.

“Demi menghormati peminat, rakan dan keluarga, saya rasa bertanggungjawab untuk bercakap secara terbuka me­ngenai tuduhan palsu, di mana saya telah menjadi mangsa.

“Sejak awal, saya melayan perkara ini dengan serius dan hormat, memberikan penjelasan yang perlu kepada polis. Siasatan adalah di bawah kerahsiaan kehakiman, dan oleh itu saya tidak boleh mendedahkan kandungannya kepada umum.

“Bagaimanapun, saya boleh dengan tenang mengatakan tuduhan itu adalah palsu, dan bukti semasa dan yang belum dikemukakan menunjukkan saya tidak bersalah.

“Hubungan saya de­ngan Cavallin bergolak, dengan kata-kata penghinaan dari kedua-dua belah pihak tetapi saya tidak pernah melakukan serangan fizikal.

“Setiap kali, sama ada dalam keterangan atau dalam siasatan, dia mengemukakan versi tuduhan yang berbeza.

“Oleh itu, saya datang untuk menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat dan memaklumkan kepada anda bahawa saya kekal di tangan pihak berkuasa Brazil untuk menjelaskan apa-apa.

“Saya percaya bahawa siasatan polis yang berterusan akan menunjukkan kebenaran tentang saya tidak bersalah,” kata Anthony. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN