MANCHESTER: Empat bintang Manchester United terlibat dalam pergaduhan di bilik persalinan selepas kekalahan 1-3 kepada Brighton di tempat sendiri, Sabtu lalu.
Legenda United, Gary Neville mendakwa pemain yang tidak berpuas menjadi ‘pepijat’ yang mencipta ‘ketidakselesaan dan ketidakpastian dalam kalangan anak-anak buah Erik ten Hag.
Red Devils meneruskan musim bergolak di dalam dan di luar padang, di mana Ten Hag sudah pun terlibat dalam pertelingkahan dengan Jadon Sancho.
Kempen ini juga telah menyaksikan rasa tidak puas penyokong atas kegagalan Glazers menjual kelab ketika rundingan pengambilalihan berlarutan, dan suasana toksik seolah-olah memberi kesan kepada pemain selepas tiga kekalahan dalam lima perlawanan pertama mereka.
Kekalahan kepada Seagulls di Old Trafford bermakna mereka kini jatuh ke tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL), dan Neville mendakwa kelab itu mempunyai ‘budaya tamak serta disiplin tidak baik’ yang dibawa oleh pemilikan keluarga Glazer.
Menurut The Sun, kapten Bruno Fernandes bertegang urat dengan gandingannya di bahagian tengah, Scott McTominay.
Gandingan bek tengah, Lisandro Martinez dan Victor Lindelof turut menyalahkan satu sama lain selepas dibolosi tiga kali oleh Brighton di Old Trafford.
Ten Hag yang sudah kehilangan Mason Greenwood dan Antony akibat masalah di luar padang turut menggugurkan Sancho daripada latihan skuad utama dan melepaskan Harry Maguire daripada jawatan kapten.
“Sejauh mana populariti Sancho dalam bilik persalinan? Bagaimana dengan populariti Maguire?
“Ten Hag ada masalah di sana yang kita di luar tidak tahu. Rasa tidak selesa dan tidak yakin berputik dari dalam pasukan itu sendiri.
“Anda mempunyai pemain yang berada dalam bilik persalinan skuad utama tetapi tidak berpuas hati dengan pasukan. Kemudian ada Harry yang mengetuai pemain-pemain ini 12 bulan lalu tetapi kini tercicir sebagai pilihan ketiga, keempat, kelima di posisi bek tengah.
“Jadi ada situasi yang perlu ditangani Ten Hag di situ dan saya tidak tahu sejauh mana kerosakan sudah berlaku.
“Ramai pengendali dilantik selepas Sir Alex Ferguson, pengendali-pengendali hebat yang berdepan cabaran sukar di United.
“Saya harap ia hanya permulaan musim yang sukar dan bukan ulangan kepada apa yang pernah berlaku sebelum ini, cabaran kepada Jose Mourinho, Louis van Gaal, David Moyes, Ralf Rangnick dan Ole Gunnar Solskjaer,” kata Neville.
United kini akan menentang Bayern Munich dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi esok selepas permulaan terburuk dalam liga domestik. – AGENSI