Thailand mungkin ‘parking’ bas jumpa Malaysia

Thailand mungkin ‘parking’ bas jumpa Malaysia

BARISAN Pemain hoki Malaysia yang tampil dalam Sukan Asia kali ini. – IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mungkin berdepan kesukaran untuk menembusi gawang Thailand yang dijangka turun dengan taktikal bertahan, namun misi Speedy Tigers dalam aksi pembukaan Sukan Asia di Hangzhou hari ini hanya satu, buru kemenangan pertama.

Pengendali hoki negara, A. Arul Selvaraj menegaskan, sasaran Malaysia dalam Sukan Asia bukan sekadar mengalahkan Thailand atau menjuarai Kumpulan B, pasukannya tiba di Hangzhou dengan membawa misi memenangi pingat emas.

Malaysia telah beraksi dalam semua 16 edisi Sukan Asia sejak hoki membuat penampilan sulung di Tokyo pada 1958, namun tidak pernah meraih emas.

Arul percaya, motivasi pemainnya sangat tinggi kerana memenangi emas bermakna mereka akan meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2024. Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Olimpik di Sydney 2000.

“Kami percaya, Thailand akan turun dengan permainan bertahan untuk mengurangkan jurang gol, selain selain mempertahankan maruah mereka.

“Walaupun kita tampil sebagai pasukan pilihan, kita akan bermain mengikut sistem sendiri dan dengan penuh kesabaran.

“Sebelum memulakan latihan, saya beritahu pemain agar memasang impian.

“Kami mahu mencipta sejarah dan suka melakukan sesuatu untuk hoki Malaysia dan ­untuk diri kami sendiri.

“Saya cuba kembalikan ­Malaysia ke Olimpik, ia sangat hebat jika kita dapat melakukannya di sini,” kata Arul semalam.

Menurut Arul, penangguhan Sukan Asia akibat Covid-19 memberi manfaat kepada pasukannya kerana ia membolehkan fizikal pemain lebih kuat. 

Speedy Tigers yang menghuni ranking ke-10 dunia akan diuji oleh Oman dalam aksi kedua, Selasa depan sebelum berdepan Indonesia pada Khamis, Korea Selatan (Sabtu) dan dan tuan rumah, China (2 Oktober).

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan Asia adalah muncul naib juara di Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018, selain meraih enam pingat gangsa.

Speedy Tigers amat berharap untuk membawa pulang emas Sukan Asia, terutaman selepas memenangi Piala Sultan Azlan Shah sulung mereka November lepas dan mara ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) buat kali pertama sejak penubuhannya pada 2011, sebelum ditewaskan oleh tuan rumah India 4-3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya