Dua kertas siasatan dirujuk ke AGC tidak babit Azam Baki

Dua kertas siasatan dirujuk ke AGC tidak babit Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua kertas siasatan yang akan dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membabitkan siasatan terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebaliknya kes berasingan yang mengaitkan beliau.

Azam berkata, beliau bukan individu yang disiasat dalam kes itu, sebaliknya ahli perniagaan, Albert Tei yang mengemukakan dakwaan palsu terhadapnya.

“Ya, bukan saya yang disiasat. Pada saya, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap beliau di bawah mana-mana peruntukan undang-undang jenayah yang berkaitan.

“Ini supaya masyarakat tidak mudah terpedaya sehingga boleh menjejaskan nama baik agensi kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, rakaman percakapan Azam diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Rakaman percakapan itu berkaitan dua kertas siasatan iaitu penerbitan artikel oleh Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah mengenai pemilikan saham Velocity Capital Partner Berhad.

Kes kedua pula membabitkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang individu awam bernama Albert Tei.

Pada 14 Februari lalu, PDRM membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.

Selain itu, siasatan lain juga turut dijalankan terhadap laporan polis yang dibuat Albert pada 13 Mei lalu berhubung dakwaan mengugut dan cuba menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah Sabah pada November 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN