KOTA BHARU: Kegiatan dua lelaki yang dipercayai aktif memproses dan menjual air ketum sejak lebih dua tahun lalu berakhir apabila mereka diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Chenok, di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 11.05 malam itu, PGA turut merampas air dan daun ketum serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses minuman berkenaan dengan nilai keseluruhan RM6,880.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek sedang leka memproses dan membungkus air ketum.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi selepas penahanan membawa kepada rampasan air dan daun ketum selain peralatan yang digunakan untuk kegiatan tersebut.
“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek berusia 32 dan 34 tahun itu mengaku terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak Februari 2024 serta bertindak sebagai rakan kongsi dalam penjualan air ketum.
“Mereka turut mengaku merebus satu periuk air ketum setiap hari bermula pukul 7 hingga 11 malam yang mampu menghasilkan kira-kira 120 bungkus air ketum dengan anggaran satu liter bagi setiap bungkus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, air ketum yang diproses itu dijual pada harga RM10 sebungkus.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang lelaki dengan kuantiti kira-kira 50 kilogram setiap minggu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.-UTUSAN










