Terengganu mahu tembusi gawang Selangor sepantas mungkin

Terengganu mahu tembusi gawang Selangor sepantas mungkin

PEMAIN Terengganu FC menunggu kehadiran Selangor dalam suku akhir Piala Malaysia malam ini dengan memburu gol awal dan mencari bekalan selesa. - IHSAN TERENGGANU FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) turun pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Selangor malam ini dengan misi memburu gol awal bagi mencari bekalan selesa di laman sendiri.

Menurut ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner, Sang Penyu harus bermain dengan rentak lebih tersusun dan agresif dari awal permainan selain tidak melakukan kesilapan mudah.

Pengendali berasal daripada Croatia itu bagaimanapun mengakui bukan tugas mudah untuk menjinakkan skuad The Red Giant yang kini berada di kedudukan kedua Liga Super.

Justeru beliau mengakui mengharapkan tuah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan TFC hanya tewas dua kali daripada 14 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini di venue berkenaan.

“Tidak dinafikan Selangor antara pasukan terbaik ketika ini dengan beberapa pemain mereka baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan dan skuad B-23 Malaysia.

“Kelincahan Faisal Abdul Halim perlu dikawal rapi barisan apatah lagi pemain itu sudah ‘masak’ beraksi di Terengganu selain kelibat penyerang mereka, Richond Boakye dan Ayron del Valle.

“Apapun saya berharap penyokong setia TFC akan turun membanjiri stadium bagi memberi sokongan dan pemain-pemain juga bertekad untuk memberikan aksi bertenaga,” katanya semalam.

Mengulas lebih lanjut persiapan pasukannya, Steinbruckner berkata, beberapa tonggak masih bergelut dengan masalah kecergasan antaranya pemain sayap, Hakimi Abdullah dan Norhakim Hassan.

Malah, empat tonggak B-23 negara iaitu penjaga gol, Rahadiazli Rahalim serta pertahanan, Ubaidulullah Shamsul Fazili, Safwan Mazlan dan Azam Azmi Murad pula baru tiba dari Thailand, kelmarin.

“Perlawanan Sabtu (esok) ini akan menguji karakter pasukan saya dan kita akan lihat siapa mampu beraksi di bawah tekanan dengan TFC akan melalui jadual padat termasuk Piala AFC, Rabu ini.

“Namun kami perlu melupakan dulu bahang kejohanan bertaraf Asia itu kerana apa yang penting pertemuan dengan Selangor dan TFC harus beraksi dengan agresif bagi mencari bekalan selesa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN