Shah Firdaus, Sivasangari pembawa Jalur Gemilang di Hangzhou

Shah Firdaus, Sivasangari pembawa Jalur Gemilang di Hangzhou

MUHAMMAD Shah Firdaus (dua, kiri) menerima watikah daripada Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia ke-19 di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prospek pingat emas negara, S. Sivasangari (skuasy) dan jaguh berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China yang membuka tirai pada 23 September ini.

Ini kali pertama Shah Firdaus diberi penghormatan tersebut, manakala bagi Sivasangari, ia kali kedua dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang selepas Sukan Komanwel di Birmingham tahun lalu.

Begitupun, Sivasangari ditimpa kemalangan jalan raya sebelum temasya di Birmingham membuka tirai Julai, tahun lalu menyaksikan tugasnya diambil alih oleh rakan sepasukan, Aifa Azman.

Shah Firdaus yang memenangi pingat perak Sukan Asia 2018 di Indonesia melahirkan rasa gembiranya dipilih menggalas tanggungjawab tersebut.

“Alhamdulillah saya diumumkan sebagai pembawa bendera Sukan Asia, ini satu penghargaan dan motivasi untuk saya mencapai sesuatu pada temasya itu kelak,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan Kepada Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia ke-19 di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pemilihan tersebut bakal memberi tekanan kepadanya, anak kelahiran Muar, Johor itu memberitahu, sekalipun tidak dipilih sebagai pembawa Jalur Gemlilang, tekanan tetap ada dan penting untuknya mengatasi masalah tersebut.

“Seperti mana penyertaan saya pada temasya lalu, saya selalu menekankan pentingnya saya menikmati pertandingan itu kerana ia membantu prestasi semasa melakukan kayuhan,” ujarnya.

Shah Firdaus juga berazam untuk menjalankan tugasnya itu dengan penuh dedikasi terutama bagi membantu atlet-atlet muda yang beraksi pada Sukan Asia.

Mengulas pula tentang persiapannya menjelang Sukan Asia, alet itu berkata, dia dan Datuk Azizulhasi hanya akan memberi tumpuan kepada acara individu pecut dan keirin.

Jelasnya, oleh disebabkan masa rehat yang terlalu singkat iaitu tidak sampai 15 minit, jurulatih, John Beasly memutuskan untuk mereka mengetepikan acara pecut berpasukan bagi mendapatkan rehat yang cukup.

Sementara itu, bagi pihak Sivasangari yang kini berada di Qatar kerana menyertai Kejohanan Skuasy Klasik, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam melahirkan rasa gembiranya terhadap penghargaan besar yang sekali lagi diberikan kepada sukan skuasy.

“Ini satu penghormatan buat kita kerana skuasy merupakan prospek pingat Malaysia pada Sukan Asia.

“Hakikatnya, Sivasangari yang ditimpa kemalangan sehingga memaksanya menarik diri daripada Sukan Komanwel, mendapat peluang sekali lagi dan kali ini pada Sukan Asia,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pemilihan Sivasangari sekali lagi dilihat sebagai penebus kecewa Sukan Komanwel, Maniam, bagaimanapun, menolak persepsi tersebut kerana beliau percaya peluang beraksi pada Sukan Asia adalah lebih utama buat anak kelahiran Kedah itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN