Safawi harap tuah bermain di China

Safawi harap tuah bermain di China

SAFAWI Rashid (dua, kiri) menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan di Chengdu, China semalam. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rashid berharap tuah beraksi di China akan memihak kepadanya kerana pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pernah mengegarkan jaring lawan ketika beraksi di negara berkenaan.

Pemain berusia 26 tahun itu pernah mencetak nama selaku penjaring dalam aksi di China termasuk meledak masing-ma­sing satu gol ketika berdepan Iraq dan Jordan dalam aksi peringkat kumpulan Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun pada 2018.

Safawi juga pernah me­nyumbang satu gol buat JDT ketika juara bertahan Liga Super itu tewas 1-2 kepada Shandong Luneng di Stadium Olimpik ­Jinan dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019.

“Kalau diberi peluang untuk bermain mana-mana perlawanan saya akan buat yang terbaik dan dengan skuad yang ada ketika ini saya berasa kita ada peluang cerah untuk menang.

“Sasaran saya yang penting pasukan menang dan soal siapa jaringkan gol tidak kisah.

“Cuma, siapa yang dapat ­jaringkan gol adalah bonus buat Harimau Malaya. Apa pun kami terima segala arahan daripada jurulatih dan apa yang dia bagi saya akan laksanakan dalam padang demi pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, Safawi menyifatkan keputusan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon memilih dua lawan yang berada di ranking 100 teratas ­dunia iaitu China dan Syria adalah pilihan yang bijak kerana sesuai untuk persiapan menje­lang Piala Asia tahun hadapan.

Selain bakal bersaing di Piala Asia, skuad kebangsaan juga akan bermain dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini.

Safawi merasakan dua ­perlawanan persahabatan ini adalah ujian terbaik buat dia dan rakan-rakan sepasukannya.

“Ia bagus buat kami untuk berhadapan dengan pasukan yang mempunyai ranking yang lebih tinggi.

“Persiapan juga sangat baik dan saya berharap kami dapat menggunakan kesempatan bermain di tempat lawan.

“Mereka adalah pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi, kami menghormati mereka tetapi kami sedar mereka mempunyai persamaan ­seperti di Liga Eropah.

“Kami perlu melakukan apa yang telah diberikan oleh jurulatih,” ujarnya.

Terdahulu, Safawi kembali menemui sentuhan jaringan apabila berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu Malaysia membelasah Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea Jun lalu di Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN