SEPANG: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara perlu memastikan sasaran kali ini tidak tersasar lagi selepas dua kejohanan sebelum ini berakhir dengan kekecewaan dan gagal mencapai sasaran ditetapkan.
Aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 dan penampilan di Chonburi, Thailand dianggap
sebagai peluang terakhir untuk mereka menembus kehampaan di Sukan SEA Kemboja dan di Piala AFF B-23.
Perkara itu diakui sendiri oleh penjaga gol skuad B-23 tahun kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel yang menganggap aksi pusingan kelayakan itu sebagai penentuan terakhir buat dia dan rakan-rakan sepasukan selepas gagal menyerlah di dua kejohanan sebelum ini.
Sikh Izhan juga gembira kerana skuad kali ini dibarisi tiga penjaga gol berpengalaman dan dia sedia merebut tempat dalam kesebelasan utama dengan memberikan kualiti yang dimahukan barisan kejurulatihan bagi membantu pasukan layak ke peringkat seterusnya.
“Semua pemain yang ada dalam skuad ini adalah yang terbaik dan kami mahu dapatkan keputusan yang baik dan layak ke peringkat seterusnya. Kalau tengok ini umpama ‘final exam‘ kerana kita sudah jumpa Thailand di Sukan Sea dan Piala AFF sebelum ini.
“Saya juga tidak boleh terlalu yakin kerana semua penjaga gol dalam keadaan yang baik dan tidak risau jika ada yang mengalami kecederaan kerana ketiga-tiga penjaga gol ada kualiti yang terbaik dan jurulatih akan pilih yang terbaik untuk bermain.
“Saya bersedia jika diberi peluang untuk bermain dan akan beri persembahan terbaik kerana kualiti bermain di peringkat kebangsaan berlainan dan perlukan fokus yang lebih baik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Selain itu, Sikh Izhan juga tidak kisah siapa yang akan diturunkan sebagai pertahanan di hadapannya kerana dia percaya dengan rakan-rakan sepasukan tahu tugas yang perlu mereka lakukan dan dia meletakkan Thailand sebagai ancaman terbesar buat skuad negara.
Sementara itu, pemain pertahanan, Harith Haiqal menegaskan tiga mata ketika menentang Bangladesh dalam aksi pertama kempen Kelayakan Piala Asia B-23 sangat penting untuk memberi semangat kepada pasukan.
“Persiapan berjalan dengan sempurna dan barisan kejurulatihan telah mempersiapkan pasukan yang mana kami harap semuanya akan berjalan lancar menjelang perlawanan pertama menentang Bangladesh.
“Tekanan itu sentiasa ada dalam setiap perlawanan dan pemain perlu bijak menangani setiap tekanan. Bagi saya tekanan sebenar adalah ketika bertemu Bangladesh kerana kemenangan pertama itu penting untuk meningkatkan keyakinan kami sebagai satu pasukan,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand dengan juara kumpulan akan layak ke Piala Asia AFC B-23 2024 di Qatar.-UTUSAN