PETALING JAYA: Sudah 43 tahun Malaysia tidak pernah mengalahkan China, dan pertemuan menentang pasukan No. 80 dunia itu malam ini peluang terbaik Harimau Malaya menceriakan ‘orang-orang lama’ yang amat mengharapkan pencapaian mereka berjaya diulangi.
Biarpun memiliki ranking jauh lebih rendah iaitu 136 dunia, namun kejayaan anak-anak buah Kim Pan Gon mengikat pasukan No. 94 dunia, Syria 2-2, Rabu lalu memberi harapan kepada peminat bola sepak, kejutan mampu dilakukan dalam aksi persahabatan di Chengdu.
Kali pertama dan terakhir Malaysia mengalahkan China ialah pada 1980, iaitu menang 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa yang menjadi persediaan untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980.
Kemenangan itu dicipta oleh skuad emas Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik 1980 terdiri daripada Datuk Hassan Sani, Datuk Jamal Nasir Ismail, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni, Khalid Ali, Datuk James Wong dan beberapa nama besar lain.
Sejak itu, Malaysia tidak pernah lagi menang dengan China dengan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 10 September 2013 dalam aksi persahabatan yang menyaksikan Harimau Malaya tumpas 2-0.
“Sudah lama kita tidak menang dengan China lebih 40 tahun, kali terakhir ketika saya bersama skuad negara pada 1980.
“Saya percaya pasti ada yang sudah lupa tentang sejarah itu, tetapi besar harapan untuk kita lihat skuad negara menang dalam perlawanan esok (malam ini).
“Segalanya tidak mustahil dan saya harap kita menang dengan China ketika era bola sepak moden sekarang, kita boleh, asalkan bersemangat untuk menang. Dahulu kita mungkin kurang tetapi sekarang saya lihat, kita ada kemampuan,” kata Hassan kepada Utusan Malaysia.