MADRID: Kejayaan membawa Sepanyol merangkul Piala Dunia Wanita gagal menyelamatkan Jorge Vilda daripada dipecat sebagai ketua jurulatih semalam, di sebalik skandal melibatkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales.
Kedudukan Vilda mencetus kontroversi walaupun jurulatih itu membawa Sepanyol menumpaskan England 1-0 dalam final di Sydney bulan lalu.
Vilda, 42, satu-satunya anggota kejurulatihan skuad wanita Sepanyol yang tidak meletak jawatan sebagai protes terhadap tingkah laku Rubiales ketika penyampaian pingat.
Kebimbangan terhadap rejim kejurulatihan Vilda faktor 15 pemain Sepanyol enggan mewakili skuad kebangsaan tahun lalu.
RFEF di bawah pimpinan Rubiales enggan melayani aduan pemain, sebaliknya mengeluarkan kenyataan mereka yang terlibat hanya dibenarkan kembali ke skuad kebangsaan jika mengakui kesilapan dan meminta maaf.
Vilda dipecat selepas mengadakan pertemuan dengan pemangku presiden RFEF, Pedro Rocha, dan badan itu kemudian mengumumkan pelantikan ketua jurulatih wanita pertama, Montserrat ‘Montse’ Tome.
Difahamkan pemain telah meminta agar pengganti Vilda seorang wanita.
Tome, bekas pemain Levante serta Barcelona adalah sebahagian kakitangan kejurulatihan Vilda pada Piala Dunia.
“RFEF menghargai kerja Vilda sebagai ketua skuad kebangsaan wanita, serta kejayaan yang dicapai semasa beliau dinobat dengan pencapaian Piala Dunia.
“RFEF ingin merakamkan terima kasih kepada Vilda atas perkhidmatan yang diberikan, atas profesionalisme dan dedikasinya sepanjang tahun ini, mendoakan kejayaan terbaiknya pada masa hadapan,” kata RFEF dalam satu kenyataan. – AGENSI