MUNICH: Penjaga gol Manchester United, Andre Onana mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan 4-3 kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, terutama kesilapannya untuk gol pertama kelab Jerman itu.
Kekalahan ketiga berturut-turut menambah tekanan buat pengurus United, Erik ten Hag biarpun mereka cuba bangkit menerusi dua gol lewat Casemiro.
United pada mulanya bermain dengan lebih baik di Arena Allianz sehinggalah percubaan lemah Leroy Sane terlepas daripada genggaman Onana pada minit ke-28.
“Selepas kesilapan saya, kami hilang kawalan permainan. Ia situasi yang sukar buat kami, bagi saya terutamanya kerana saya yang mengecewakan pasukan,” kata Onana kepada TNT Sports.
Selain gol pembukaan Sane itu, Bayern meraih tiga lagi jaringan menerusi Serge Gnabry pada minit 32, diikuti penalti Harry Kane (m-53) dan Mathys Tel (m-90).
Selepas ketinggalan 2-0 di babak pertama, United cuba melawan dengan merapatkan jurang menerusi Rasmus Hojlund pada minit ke-49.
Casemiro kemudian meledak dua jaringan lewat di minit ke-88 dan 95, namun ia gagal menghalang Bayern daripada meraih tiga mata dalam aksi Kumpulan A itu.
“Permulaan saya di Manchester tidak begitu baik, ia bukan seperti mana saya mahukan. Ini antara perlawanan terburuk saya dan ia sukar kerana kami mempunyai cita-cita besar.
“Kami mahu memenangi segala-galanya, ia peluang besar untuk kami bangkit selepas situasi yang kami hadapi. Ia masa yang sukar.
“Kami perlu bersatu dan belajar daripada kesilapan kami kerana itu satu-satunya perkara yang perlu dilakukan,” kata Onana yang menyertai United pada awal musim ini menggantikan David de Gea. – AGENSI