LONDON: Jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditutup semalam dengan satu lagi rekod dipecahkan yang menyaksikan kelab England membelanjakan 2.36 bilion pound (RM13.81 bilion) untuk pemain baharu.
Gabungan perbelanjaan 20 kelab mengatasi 1.92 bilion pound (RM11.23 bilion) yang dibelanjakan pada jendela musim panas lalu, naik 440 juta pound (RM2.57 bilion), menurut firma perkhidmatan kewangan, Deloitte.
Kelab EPL membelanjakan 255 juta pound (RM1.49 bilion) pada hari terakhir, dua kali ganda daripada 120 juta pound (RM701.98 juta) dibelanjakan pada hari terakhir musim panas lalu.
Ini bermakna musim 2023-2024 mencatat rekod perbelanjaan perpindahan kedua tertinggi selepas 2.73 bilion pound (RM15.97 bilion) yang dicatat pada jendela perpindahan Januari 2023.
EPL menyumbang 48 peratus daripada perbelanjaan lima liga utama Eropah iaitu La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1.

Kelab EPL meraih 550 juta pound (RM3.21 bilion) hasil penjualan pemain ke kelab luar, dua kali ganda daripada rekod sebelumnya 210 juta pound (RM1.23 bilion) pada 2022.
Urus niaga paling mahal di hari terakhir adalah kemasukan pemain tengah Portugal, Matheus Nunes dari Wolverhampton ke Manchester City pada harga 55 juta pound (RM322 juta).
City turut menjual pemain tengah berusia 21 tahun, Cole Palmer kepada Chelsea pada harga 40 juta pound (RM234 juta).
Turut mencuri tumpuan, Liverpool menambah kekuatan bahagian tengah dengan membeli Ryan Gravenberch dari Bayern Munich pada harga 34 juta pound (RM200 juta).

Begitupun, Reds sebelum itu diuji kelab Arab Saudi, Al-Ittihad yang tidak berputus asa memburu Mohamed Salah dengan menawarkan 150 juta pound (RM880 juta).
Tawaran itu telah ditolak, namun sumber memberitahu Sky Sports News, Al Ittihad sedia kembali dengan tawaran lebih ‘gila’ 200 juta pound (RM1.172 bilion).
Biarpun pasaran perpindahan EPL sudah ditutup, jendela di Arab Saudi masih dibuka sehingga 7 September.
Liverpool antara kelab paling aktif dalam pasaran kali ini. Mereka sebelum ini membawa masuk tiga pemain tengah, Wataru Endo ke Anfield, Alexis Mac Allister serta Dominik Szoboszlai.

Manchester United pula akhirnya mendapatkan bintang tengah Maghribi, Sofyan Amrabat secara pinjaman daripada Fiorentina.
Mereka juga membawa masuk penjaga gol Fenerbahce, Altay Bayindir dengan harga 4.5 juta (RM26.32 juta).
Red Devils memperkukuhkan benteng dengan mendapatkan bek kiri, Sergio Reguilon secara pinjaman dari Tottenham.
Nottingham Forest kelab paling sibuk menandatangani tujuh pemain termasuk pemain tengah, Ibrahim Sangare dari PSV, pemain sayap Callum Hudson-Odoi dari Chelsea dan pemain tengah Nicolas Dominguez dari Bologna. – AGENSI