NEW YORK: Novak Djokovic meneruskan misi memburu rekod 24 gelaran Grand Slam selepas menewaskan Ben Shelton untuk mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali ke-10.
Bintang Serbia itu menamatkan impian pemain muda tuan rumah, Shelton, 20, dengan kemenangan 6-3, 6-2, 7-6 (7/4) untuk bertemu pemenang di antara Carlos Alcaraz atau Daniil Medvedev.
“Satu lagi final Grand Slam. Saya amat gembira dengan kedudukan sekarang. Saya menjangkakan perlawanan paling sukar (akhir), tidak kira siapa yang menanti,” kata Djokovic yang meraikan kemenangan ke-100 pada Terbuka AS.
Djokovic, 36, turut berpeluang menjadi pemain tertua memenangi perseorangan lelaki Terbuka AS dalam era Terbuka, serta menyamai rekod kemenangan terbanyak sepanjang zaman milik Margaret Court.
Novak Djokovic says he still has plenty left 👀 pic.twitter.com/LstgGbgAAN
— US Open Tennis (@usopen) September 8, 2023
Pemain Serbia itu, yang akan merampas kembali status No. 1 dunia, Isnin ini kini memenangi 22 daripada 23 aksi separuh akhir Grand Slam.
Dia merangkul gelaran terakhirnya daripada tiga kejuaraan Terbuka AS pada 2018.
Djokovic juga berjaya mara ke final keempat-empat kejohanan utama dalam setahun buat kali ketiga, selain memburu tiga gelaran Grand Slam dalam semusim buat kali keempat sepanjang kariernya. – AFP