PETALING JAYA: Bersaing tanpa sasaran spesifik pingat emas dalam Sukan Asia di Hangzhou, China dibimbangi akan menyebabkan atlet negara mengambil mudah cabaran mereka.
Menjadikan tekanan sebagai alasan utama pendekatan sasaran diubah sesuatu yang sukar diterima, kata penganalisis sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli.
Kata Pekan, atlet berkelas dunia tidak sepatutnya takut kepada tekanan untuk mencapai sasaran, termasuk jika disasarkan emas.
Beliau mengakui, keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan hanya mengejar 27 pingat tanpa mengira warna sesuatu yang mengejutkan.
“Perkara ini menunjukkan kita bukan semakin maju ke depan tetapi mengundur ke belakang. Apa sebenarnya yang direncanakan pengurusan sukan negara? Macam kelakar umum 27 sasaran pingat tanpa mengira warna.
“Yang peliknya, alasan ialah kita mengikut pendapat pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Jepun. Saya hairan, takkan universiti itu beri nasihat jangan tetapkan sasaran emas nanti atlet tertekan.

“Hanya layak bergelar jaguh kampung kalau takut kepada tekanan, jangan guna alasan begitu. Kita ambil contoh jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, kalau tak sasar emas untuk dia, dia sendiri akan cakap akan dapatkan emas.
“Atlet sebegini kita mahu sebenarnya, jangan tonjolkan kita kurang keyakinan kepada atlet kerana faktor tekanan juga sebenarnya membantu atlet kerana mereka ada sasaran khusus perlu dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Pengarah Bahagian Atet MSN, Jefri Ngadirin berkata, keputusan tidak meletakkan sasaran emas di Hangzhou dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk pakar dari NSSU dan Persatuan Sukan Kebangsaan.
Pekan berkata, MSN tidak boleh membandingkan Malaysia dengan Jepun, Korea Selatan dan negara besar lain kerana mereka ada menyasarkan secara khusus kedudukan kutipan pingat.
“Saya tahu, kita sebenarnya takut pencapaian buruk di Sukan SEA Hanoi, Sukan SEA Kemboja berulang. Jika diletakkan secara umum 27 pingat, mungkin ada perkara yang boleh dijadikan alasan nanti.
“Kita sepatutnya yakin dengan kemampuan atlet kerana sudah lakukan persediaan baik termasuk menghantar mereka berlatih di luar negara,” katanya.