Survival MCA, jangan masuk jerat DAP - Utusan Malaysia

Survival MCA, jangan masuk jerat DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Perubahan pola pengundian, kemerosotan politik berasaskan komuniti, serta dominasi naratif kebencian telah meletakkan MCA dalam kedudukan paling terhimpit sejak penubuhannya. Di tengah-tengah persaingan antara gabungan besar dan politik oportunis­me, MCA berdepan dilema dalam memper­tahankan prinsip asal perjuangan.

Bekas Naib Presiden MCA, DATUK SERI TI LIAN KER berpandangan bahawa cabaran utama MCA hari ini bukan sekadar soal rakan politik, tetapi kegagalan sistemik politik negara yang terperangkap dalam jerat perkauman dan emosi.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan jurufoto, AMIR KHALID, beliau berkata, tanpa keberanian kepimpinan, kefahaman sains politik dan kesediaan menentang naratif palsu yang memecah-belahkan masyarakat, bukan sahaja MCA berisiko kehilangan relevansi, malah masa depan politik berbilang kaum di Malaysia turut terancam.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat survival MCA dalam suasana politik hari ini?
MCA hari ini, kalau anda tengok sekarang politik hendak berasaskan perkauman lagi kah? Politik komuniti sudah tidak kuat. Orang Cina yang berkecimpung dalam politik, ramai lebih kepada politik oportunis.

Mereka anggap politik ini sebagai satu perdagangan, mana ada peluang, mana ada dia kenal tauke-tauke, bukan dia mahu jadi ahli Parlimen pun. Kalau dia kenal tauke Pas, dia masuk Pas lah dan begitu sebaliknya.

MCA, kalau dahulunya, kita banyak bergantung pada kampung baru, bantu selesai banyak masalah pembangunan, masalah kebajikan, perdagangan dan sebagainya. MCA relevan sebab semua masalah mereka dapat kita kendalikan dan kita selesaikan. Bila selesai, maka kita dapat sokongan-sokongan.

Sedikit sebanyak dalam semua kawasan kita dapat bukan majoriti sokongan Cina. Tapi kurang-kurang 30 peratus asas undi Cina dan inilah yang membolehkan BN menang cemerlang. Sebab, BN masa itu dapat 80 hingga 90 peratus undi Melayu kecuali kawasan pedalaman Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Hari ini MCA sudah kehilangan undi-undi tradisional mereka sebab budaya kebencian disebarkan DAP sampai ke tahap asalkan bukan UMNO. Sebab asalkan bukan UMNO, MCA kena. Asalkan bukan Pas, kalau MCA kerjasama dengan Pas, kena juga MCA. Apa pilihan MCA? Kalau ikut Pakatan Harapan (PH), dengan kombinasi sekarang, ia akan kuburkan MCA. jadi apa kepemimpinan hendak buat?

Kita kena ada keberanian. Asas kita akan bertaruh, kita akan bertembung dengan DAP, kita akan membongkar semua penipuan, propaganda mereka. Kita akan teruskan perjuangan atas landasan kebenaran dan formula BN yang selama ini dapat menjamin keharmonian dan perpaduan Malaysia.

MCA kena teguh dan teruskan perjuangan. Perjuangan ini memerlukan dua hingga tiga pilihan raya umum (PRU) dan UMNO pula kena ada kepercayaan dan komitmen untuk menegakkan ataupun menghidupkan kembali BN untuk bangkit semula.

Kalau pemimpin UMNO sendiri mahu cari jalan senang, menggadaikan maruah, mahu ikut telunjuk PH ataupun menyembah DAP, apa MCA boleh buat? Kita tahu akar umbi UMNO memang tidak setuju dengan DAP.

Hari ini juga tidak penting disoal untuk MCA, MIC sama ada hendak bersama BN, PN atau bergerak sendiri, yang lebih penting adalah apa impak dan mesej untuk menggerakkan masyarakat Cina dan India memahami dan menerima hakikat politik negara berlandaskan fakta hakikat dan sains politik, untuk menegakkan hala tuju yang sihat, itu lagi penting.

Apa reaksi akar umbi terhadap parti dan halatuju dalam BN?
Kematangan MCA, UMNO, MIC memang cuma pada tahap kepimpinan. Akar umbi jauh daripada kematangan. Banyak lagi emosi. Sebab, selama ini pemimpin-pemimpin tidak mendidik akar umbi ataupun rakyat Malaysia daripada segi sains politik, kematangan politik dan kejituan politik. Mereka main daripada emosi politik, perkauman politik, politik keagamaan dan kebudayaan.

Parti mana yang memperjuangkan atas falsafah politik? Pas pakai nama Islam. Bila dia cakap Islam adalah adil, memang Islam adil. Tapi Pas adil tak? Ada nampak Pas konsisten? Ada nampak Pas menidakkan perkauman?

Jadi, bermakna mereka cuma menunggang, bukan menjiwai atau mengamalkan ajaran. Jadi, kita tidak ada falsafah politik yang mendalam. Itulah yang antara masalah negara kita sekarang hari ini terumbang-ambing, bila pecah, bergaduh.

Ada juga orang yang mengatakan, mungkin Anwar Ibrahim akan kuburkan PKR dan balik kepada UMNO. Itu pun ada juga kemungkinan. Sebab PKR kalau bergantung kepada undi Cina saja, tidak lama. Undi orang India pun sudah lari.

Jadi, berbalik hari ini masih tunggang pada agama, perkauman Melayu dan Islam. Sebab, Melayu dan Islam adalah undi majoriti penduduk Malaysia. Selagi pemimpin- pemimpin Melayu, politikus Melayu yang menjadi orang cakap tonggak politik kita, tidak ikhlas dengan Melayu sendiri dan terus memainkan emosi politik seperti DAP dengan masyarakat pengundi-pengundi Cina, selagi itulah politik kita tidak akan menjadi sihat.

Adakah ketiadaan pelan peralihan kepimpinan yang jelas memberi kesan kepada MCA?
MCA kena pilih mahu menang sekarang jangka pendek atau untuk jangka panjang. Pemimpin kena buat keputusan, bukan tolak kepada akar umbi dan kemudian buat resolusi tolak balik kepada pemimpin.

Pemimpin telah diberi mandat dan dipilih untuk membuat keputusan, mereka paling arif dan berani buat keputusan, kalau tidak itu satu kelemahan kalau tidak nampak gerak langkah diatur. MCA bukan boleh hidup sendiri, kerana hakikat politik kita kena bergabung. DAP kuat, Pas pun kuat tapi kenapa masing-masing cari rakan pakatan?

Presiden MCA akan habis penggal setahun, dua lagi. Kenapa takut sangat untuk buat keputusan? Kalau takut serah kepada Timbalan Presiden, ini timbalan tidak ada peranan, tidak diperkasakan, itu satu kelemahan dalam parti yang ditegur.

Bagaimana Datuk Seri melihat kemungkinan kerjasama dengan Pas dalam PN?
Kenyataan Presiden minta Pas berubah, apa ukurannya? Bila tidak disebut, jadi berkecamuk, macam-macam ukuran sendiri. Jadi, macam mana Pas berubah pun, masih ramai tidak akan setuju kerana mereka masing-masing punyai ukuran mereka dan tidak memahami bahawa Pas juga ada ukuran untuk menjaga hati penyokong.

Sepatutnya presiden kata bila Pas bersama-sama kita dalam kerajaan semasa BN, PN mentadbir, Pas tidaklah ekstrem seperti mana yang dikatakan orang. Mereka tidak melaksanakan hudud dan Amanat Haji Hadi, sama juga dengan DAP, bila berjaya bekerjasama dengan UMNO, mereka sudah lupa semua agenda yang mahu diperjuang.

Patut naratifnya adalah sampai masa siapa sahaja bersama MCA memperjuangkan atas landasan Perlembagaan, perundangan dan nilai dan niat politik yang suci dan ikhlas, kita boleh bersama.

MCA pernah bersama PN masa Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri, kenapa ketika itu tidak buat kenyataan Pas perlu berubah?

Tapi sekarang berbeza, sebab terperangkap dengan naratif DAP bahawa Pas itu ekstrem. Daripada segi politik hari ini kalau tidak kerjasama dengan UMNO atau Pas, kita tidak boleh hidup sendiri, kita kena bekerjasama, kita bukan Sabah

Kenyataan pemimpin dalam parti bahawa Pas tidak disenangi masyarakat Cina adalah satu perangkap dan jerat DAP. Ini kerana MCA pernah bekerjasama dengan Pas, dan ketika itu tidak pernah mengatakan masyarakat Cina tidak senang dengan Pas, atau tidak akan bekerjasama dengan Pas sekiranya parti itu tidak berubah, jadi bila perkara itu berlaku masa ini, kita masuk jerat DAP. Kenyataan tidak matang seperti ini juga tidak memungkinkan MCA mendapat undi DAP. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN