12 penerjun galas misi buru pingat Sukan Asia

12 penerjun galas misi buru pingat Sukan Asia

PANDELELA Rinong akan mengetuai cabaran Malaysia pada Sukan Asia di Hangzhou.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara akan menerbangkan 12 atlet ke Sukan Asia di Hangzhou, China, yang membuka tirai pada 23 September ini.

Pengurus pasukan terjun ke Sukan Asia, Datuk Leong Mun Yee berkata, tujuh penerjun lelaki dan lima wanita akan menjadi sandaran Malaysia bagi merebut pingat pada temasya empat tahun sekali itu.

“Datuk Pandelela Rinong akan mengetuai kontinjen bersama Nur Dhabitah Sabri, Kimberly Bong, Ong Ker Ying, Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang, Muhammad Syafiq Puteh, Bertrand Rhodict Lises, Enrique Maccartney Harold, Jelson Jabillin, Gabriel Gilbert Daim dan Hanis Nazirul Jaya Suria,” kata bekas penerjun negara itu.

Ketika ditanya mengenai sasaran pingat, Mun Yee berkata, buat masa ini, sasaran masih belum boleh diumumkan, tetapi apa yang pasti bukan pi­ngat emas.

Dengan tuan rumah, China yang sudah tentu bakal mendominasi pere­butan pingat emas pada Sukan Asia, Mun Yee memberitahu, Malaysia masih perlu bersaing dengan Jepun dan Korea Selatan bagi memburu perak atau gangsa.

LEONG MUN YEE

Mengenai perkemba­ngan terkini kecederaan Dhabitah, Mun Yee menjelaskan, Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa memantau kecederaan pergelangan tangan yang dialami atlet itu.

“Kecederaan Dhabitah tidak membimbangkan, semuanya berada keadaan terkawal, kita masih ada beberapa minggu lagi sebelum terbang ke Hangzhou,” ujarnya.

Mun Yee juga berharap pada temasya kali ini, atlet junior seperti Rhodict dan Enrique dapat membuktikan kemampuan masing-masing.

“Bagi Rhodict dan Enrique, mereka akan menyertai acara 3 meter papan anjal seirama, saya jangkakan mereka mampu menyerlah.

“Mereka ada cuba menaikkan kadar kesukaran ketika menyempurnakan terjunan, kalau bagus, mereka kena tengok boleh konsisten atau tidak,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN