SYDNEY: Pasukan Sepanyol melakar sejarah apabila berjaya merangkul kejuaraan Piala Dunia bola sepak wanita selepas menumpaskan pasukan pilihan, England 1-0 hari ini.
Ini merupakan penampilan sulung untuk kedua-dua pasukan di pentas final.
Aksi yang berlangsung di Stadium Australia itu menyaksikan England cuba untuk menembusi gawang Spain yang dikawal penjaga gol, Cata Coll namun rembatan penyerang Lionesses, Lauren Hemp hanya menyinggah di palang pada minit ke 15.
Sepanyol membalas seminit kemudian menerusi Alba Redondo, namun sepakannya berjaya ditepi penjaga gol England, Mary Earps.
Skuad kendalian Jorge Vilda akhirnya berjaya menembusi gawang England apabila pemain pertahanan, Olga Carmona berjaya melakukan larian dan melepaskan rembatan kencang untuk meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke 29.
Biarpun kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.