Senjata ‘baharu’ kuatkan jentera Sang Kenari

Senjata ‘baharu’ kuatkan jentera Sang Kenari

PEMAIN Kedah menjalani latihan akhir di Alor Setar semalam dalam persiapan menghadapi Perak FC pada perlawanan pertama Piala Malaysia malam ini. – IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Nafuzi Zain yakin kehadiran dua muka baharu, J. Partiban dan Halim Saari mampu mengisi kekosongan Lee Tuck dan Al-Hafiz Harun untuk memperkuatkan Sang Kenari mengharungi baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia yang bermula hari ini.

Menurut pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu, ­kedua-dua pemain memiliki kelebihan tersendiri dan bersedia diturunkan pada bila-bila masa, termasuk dalam aksi pertama Piala Malaysia menentang Perak FC malam ini.

“Apabila kita kehilangan pemain di posisi tertentu, sudah tentu kita perlu menggantinya segera. Saya fikir kehadiran Partiban dan Halim memang diperlukan, sekali gus menambah pilihan pemain yang boleh kami turunkan.

“Kecuali Akmal Zahir dan Kamil Akmal yang cedera, pemain-pemain lain tiada masalah untuk diturunkan. Kami menyasarkan keputusan positif menentang Perak untuk bekalan bertemu mereka dalam perlawanan timbal balik pada 18 Ogos nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Kedah mengumumkan kehadiran Halim dan Partiban ke dalam skuad itu yang menyaksikan keputusan tersebut dilihat mendapat reaksi positif dalam kalangan peminat.

Halim yang sebelum ini beraksi bersama Selangor FC seakan ‘senyap’ seketika setelah dirundung kecederaan, manakala Partiban yang terkenal kerana kepantasannya di bahagian sayap, dipinjam dari KL City.

Mengulas lanjut Nafuzi berkata, anak-anak buahnya perlu berhati-hati menentang Perak FC memandangkan Bos Gaurus dilengkapi import baharu yang berkualiti.

“Saya difahamkan import mereka yang cedera sebelum ini juga sudah boleh beraksi. Berdasarkan pemerhatian terhadap aksi mereka kebelakangan ini, saya lihat persefahaman pemain Perak FC kian meningkat malah persembahan mereka juga ­teratur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN