PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak-anak buahnya mereka belum boleh selesa walaupun mempamer peningkatan dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Super.
Tegasnya, masih ada beberapa perkara perlu ditingkatkan skuad Gergasi Merah bagi merealisasikan misi ke Asia, sekali gus menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan kedua terbaik.
“Konsisten dalam setiap perlawanan dan latihan penting buat pasukan. Bukan mudah sejak beberapa bulan ini nak dapat keserasian yang mana pemain juga perlu faham untuk membentuk persembahan berdasarkan taktikal diterapkan.
“Buat masa ini kita nampak setiap pemain menunjukkan persembahan terbaik dari segi individu dan kurang melakukan kesilapan, namun kita tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kita tunjukkan kerana ada beberapa perkara yang perlu ditingkatkan,” katanya.
Cheng Hoe memuji persembahan pasukannya ketika menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin, berterima kasih kepada jaringan Harith Haiqal dan Ayron Del Valle.
“Pemain yang diturunkan menunjukkan satu karakter terbaik walaupun kita tahu sebelum perlawanan pasukan berdepan tekanan untuk meraih kemenangan ke atas KL City,” ujarnya.
Kemenangan ke atas KL City menyaksikan Selangor yang mengekalkan kedudukan tangga kedua dengan 43 mata selepas 20 perlawanan, manakala The City Boys jatuh ke kedudukan ketujuh mengutip 28 mata.