Anak 16 tahun imam solat jenazah bapa maut kemalangan

Anak 16 tahun imam solat jenazah bapa maut kemalangan

MUHAMMAD Irsyaad Mohd. Shahrol Anuar menerima sumbangan yang disampaikan Mohd. Ridhwan Mohd. Ali pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan anjuran Lead, WYF dan Pendika di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang remaja berusia 16 tahun menunaikan bakti terakhirnya sebagai anak apabila mengimamkan solat jenazah bapanya yang maut dalam kemalangan pada 10 Februari lalu selepas diminta sendiri oleh ibunya dalam suasana penuh hiba.

Muhammad Irsyaad Mohd. Shahrol Anuar berkata, permintaan ibunya itu menjadi detik paling memilukan dalam hidupnya yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Memang selalunya imam lain yang akan mengetuai solat jenazah. Tetapi bila emak peluk saya dan cakap macam itu, saya jadi sedih.

“Saya beritahu atuk dan pak cik, saya minta untuk imamkan sendiri solat jenazah itu. Alhamdulillah, dapat juga saya tunaikan. Itulah bakti terakhir saya kepada abah,” katanya kepada pemberita semalam.

Dia ditemui pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan anjuran Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead) bersama World Youth Foundation (WYF) serta Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, di sini semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi World Youth Foundation, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali.

Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru, mangsa, Mohd. Shahrol Anuar Md. Roby, 44, meninggal dunia selepas motosikal Honda EX5 yang ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Myvi yang dipercayai mengalami ‘microsleep’ sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar lima kenderaan lain.

Berkongsi kenangan terakhir, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya kira-kira sebulan lalu sebelum kembali ke madrasah.

“Itu kali terakhir saya salam dan peluk abah. Dia sempat pesan supaya jaga diri. Sepatutnya sebelum Ramadan saya balik dan dapat sambut puasa bersama abah, tetapi tidak sangka abah pergi lebih awal,” ujarnya sebak.

Tambahnya, arwah sempat menyediakan sambal penyet dalam kuantiti yang banyak beberapa hari sebelum kejadian, seolah-olah memberi petanda pemergiannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN