Adik terkenang berbuka puasa bersama mendiang abang

Nahas FRU: Adik terkenang berbuka puasa bersama mendiang abang

NUR Ardini Rryna menunjukkan gambar mendiang abangnya, Koperal Nurit Pandak ketika ditemui di Kampar, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Adik perempuan kepada mendiang Koperal Nurit Pandak, 34, yang terkorban dalam kemalangan membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pada 13 Mei lalu, masih merindui detik berbuka puasa bersama abangnya setiap kali Ramadan.

Nur Ardini Rryna, 33, berkata, kehilangan abangnya itu, masih dirasai seisi keluarga, apatah lagi mendiang merupakan abang yang sentiasa memberi sokongan dan mengambil berat tentang adik-beradik tanpa mengira perbezaan agama.

Katanya, setiap kali Ramadan menjelang, arwah pasti menghubunginya untuk mengucapkan selamat berpuasa dan meluangkan masa berbuka bersama keluarga jika tidak terikat dengan tugas.

“Hampir setahun pemergian abang, saya masih terasa sayu tanpanya. Setiap kali Ramadan semakin hampir, abang pasti akan mengingatkan saya tentang Ramadan dan bertanya khabar.

“Walaupun berlainan agama, hubungan kami sangat rapat. Arwah akan ucap selamat berpuasa dan jika berkelapangan, kami akan berbuka bersama,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Mambang Diawan, di sini.

Katanya, ketiadaan abangnya menyebabkan suasana Ramadan dan Aidilfitri tidak lagi semeriah seperti sebelum ini, lebih-lebih lagi keluarga mereka kini hanya tinggal empat beradik berbanding lima sebelum ini.

“Hati terasa sedih kerana keluarga tidak lagi lengkap. Ramadan kali ini tidak seceria dulu, namun kami reda dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Nur Ardini berkata, mendiang abangnya itu dikenali sebagai seorang yang penyayang dan gemar menikmati nasi lemak, selain tidak pernah menolak pelawaan untuk berbuka puasa bersama keluarga walaupun sibuk menjalankan tugas.

Katanya, mendiang juga tidak pernah ketinggalan menghadiri sambutan Aidilfitri bersama keluarga, menjadikan setiap kenangan bersama sebagai sesuatu yang amat berharga.

Koperal Nurit merupakan antara sembilan anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh yang maut dalam kemalangan membabitkan trak FRU dan lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pada 13 Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN