Penyokong Kelantan FC bakar suar, gesa Zamsaham berundur

Penyokong Kelantan FC bakar suar, gesa Zamsaham berundur

SEGELINTIR penyokong Kelantan FC membakar suar di luar Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu selepas pasukan itu dibelasah 2-11 oleh Selangor malam tadi. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terlalu kecewa sering menjadi mangsa belasahan, segelintir penyokong Kelantan FC membakar suar di luar Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi sejurus pasukan mereka diratah 2-11 oleh Selangor dalam aksi Liga Super.

Sebelum itu, sekumpulan peminat turut membentuk emoji sedih di tempat duduk penonton di stadium.

Dalam beberapa hantaran video yang tular di media sosial, sekumpulan penyokong dengan percikan api melaungkan kata-kata menuntut pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman melepaskan The Red Warriors (TRW).

Ini kekalahan besar ketiga berturut-turut dicatatkan anak-anak buah Alfredo Vera bermula dengan dibelasah Terengganu FC 0-8 pada 9 Ogos lalu, diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) 10-0 dalam saingan Piala Malaysia, Sabtu lalu.

PENJAGA gol Kelantan FC, Irfan Haikal Mohd. Iffendi terbaring selepas gawangnya dibolosi  Selangor FC. -UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC mencatatkan rekod bolos terburuk apabila melepaskan 87 jaringan dalam 21 perlawanan setakat ini.

Kekalahan terbaru mengekalkan mereka di tangga kedua tercorot, sekali gus berisiko tersingkir ke Liga M3 musim depan.

Pemilik kelab, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sebelum ini menegaskan, beliau bersedia melepaskan Kelantan FC jika menerima tawaran yang sesuai.

Begitupun jika TRW jatuh ke Liga M3 musim depan, nilai pasaran kelab pasti jatuh biarpun dibeli pada harga jutaan ringgit.

Kelantan FC akan berdepan Sabah, Perak, Kedah, PDRM dan Kelantan United dalam baki lima perlawanan liga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN