KUALA TERENGGANU: Seorang wanita hanya mampu melihat rumah pusaka yang didudukinya sejak kecil musnah dalam kebakaran di Kampung Buluh Gading di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, pekerja kedai makan, Norhaslina Awang, 52, bersama anak bongsunya berada di dalam rumah itu sebelum dikejutkan dengan jeritan daripada abangnya yang tinggal bersebelahan.
Norhaslina berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen bersama anak bongsunya, Nor Fatihah Najwa Asmadi, 13, yang merupakan individu sindrom down manakala anak sulungnya, Nur Natasha Najwa Asmadi, 18, tiada di rumah.
“Abang saya, Ayujefy, 54, yang tinggal di sebelah menjerit memberitahu ada kebakaran di rumah belakang. Saya terus keluar menyelamatkan diri bersama anak.
“Api marak dengan cepat dan abang cuba membantu memadam kebakaran dengan menyembur air, namun gagal. Saya hanya sempat menyelamatkan anak dan mengangkat seunit televisyen,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Norhaslina, dia mengalami kecederaan ringan melecur di tangan selepas masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil telefon bimbit milik anak bongsunya di bilik belakang.
Katanya, rumah berkenaan adalah pusaka keluarganya dan dia menetap di situ sejak kecil.
Katanya, kebakaran dipercayai berpunca dari rumah anak saudaranya yang terletak di bahagian belakang sebelum api merebak dengan cepat ke rumahnya.
“Ketika kejadian, keluarga anak saudara saya tiada di rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, anggaran kemusnahan adalah sekitar 90 peratus bagi kedua-dua rumah. – UTUSAN










