JOHOR BAHRU: Malaysia dijangka akan berdepan tempoh kritikal pada Jun dan Julai depan dalam usaha memastikan bekalan diesel dapat terus dibekalkan susulan konflik di Asia Barat bagi kegunaan industri-industri kita.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sehubungan itu berkata, langkah intervensi perlu diambil bermula sekarang bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan dalam pasaran tempatan.
“Sebagai contoh kebimbangan yang dinyatakan, apa-apa bahan yang diperbuat daripada bahan api tadi, contohnya plastik yang diperbuat daripada resin, sudah ada aduan mengatakan terdapat kekangan daripada segi bahan yang dibekalkan.
“Jadi, sebab itu langkah-langkah intervensi yang perlu diambil dari sekarang adalah pertama, untuk terus mencari ruang untuk menjamin bekalan itu ada dan yang kedua, sekiranya ada keperluan mencari jalan alternatif.
“Contohnya, daripada segi pembuatan peranti perubatan, kalau sebelum ini hanya bergantung kepada resin, kenapa tidak kita teroka pembuatan berasaskan polimer, cuma perkara ini perlukan beberapa tindakan susulan dan segera di tengah kerajaan contohnya pengiktirafan ataupun persijilan bahawa bahan boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pelangi, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, langkah itu perlu dilaksana segera bagi memastikan negara bersedia menghadapi kemungkinan tekanan kekurangan bekalan dan kenaikan harga yang dijangka berlaku sekitar Jun dan Julai depan.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut berkata, kebanyakan barangan termasuk ubat dan peranti kesihatan bergantung juga kepada tenaga bahan api sebagai input utama, sekali gus menyebabkan kenaikan kos apabila harga tenaga meningkat.
“Apabila bahan api menjadi elemen input, sudah pasti ia beri kesan kepada kos penghasilan dan seterusnya harga barangan tersebut.
“Kita minta agensi berkaitan untuk meneliti ketersediaan bekalan serta menyusun langkah intervensi segera bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya sedang memantau kenaikan harga ubat dan peranti kesihatan sehingga 40 peratus susulan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan. – UTUSAN










