PETALING JAYA: Mental kena kuat, jangan terlalu hormat lawan dan beri aksi terbaik. Jika perkara ini boleh dilakukan Harimau Malaya, mereka mampu meraih keputusan positif dalam aksi persahabatan menentang China dan Syria bulan depan.
Pertemuan menentang Syria (ranking ke-94 dunia) dan China (80) di Chengdu, China pada 6 serta 9 September depan akan menjadi kayu pengukur sejauh sejauh mana kemampuan pemain negara menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, anak-anak buahnya mempunyai corak permainan yang tidak terlalu ketara jurangnya daripada pasukan berada di ranking lebih baik seperti Thailand dan Bahrain, namun tetap diakhiri dengan kekecewaan apabila bertemu lawan itu.
“Kita pernah menentang pasukan yang lebih kuat sebelum ini dan perkara positifnya adalah kita bermula dengan baik dan berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu.
“Tetapi saya rasa pemain tidak yakin dengan diri sendiri selepas mendahului.
“Mereka seperti tidak selesa apabila terlebih dahulu di depan jadi mereka perlu membiasakan diri dengan perkara itu.
“Jangan cepat gemuruh kerana apabila mereka dalam keadaan demikian, kita bergelut dan kehilangan bola sekali gus tewas.
“Faktor psikologi, mentaliti dan keyakinan ini seharusnya ada kerana pemain harus yakin pada diri sendiri.
“Kita berada pada tahap yang setara dengan pasukan lawan. Barisan pertahanan kita juga baik tetapi berdasarkan statistik, kita sentiasa melepaskan gol selepas minit ke-75 menentang pasukan yang kuat.
“Jadi pemain perlu fokus dan mengekalkan konsentrasi sehingga tamat permainan,” katanya.
Kata Pan Gon, Malaysia telah melakukan tugas yang baik sepanjang satu setengah tahun lalu apabila menang 16 daripada 21 perlawanan tetapi jarang berdepan pasukan yang kuat seperti Syria dan China.
“Jadi kami mahu melihat sejauh mana peningkatan pemain dan pertemuan kali ini penting untuk persiapan Kelayakan Piala Dunia pada November dan juga Piala Asia tahun depan,” ujarnya.