UMNO kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal

UMNO kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal

AHMAD ZAHID Hamidi bersama Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang menyampaikan replika cek dan trofi kepada pemenang Persembahan Perhimpunan Bulanan KKDW dan Agensi 2025 pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KKDW di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung desakan supaya UMNO dan Pas menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN).

“Kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kta tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’ khususnya dalam hubungan politik.

Menurutnya, UMNO tidak mahu dikhianati oleh pihak yang sama dan tidak mahu episod itu berulang kembali.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.

“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya

UMNO dan Pas menghidupkan semula kerjasama di bawah payung Muafakat Nasional (MN).

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mahu supaya UMNO menghidupkan semula MN susulan perkembangan politik mutakhir di Perlis ketika ini.

Saranan Dr. Muhamad Akmal itu disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyifatkan jalinan semula itu sebagai kunci kepada kekuatan serta kebangkitan semula perpaduan ummah.

Ahmad Zahid juga menjelaskan, perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN