PADANG RENGAS: Berat dugaan ditanggung seorang wanita apabila dalam meniti usia emas, dia masih cekal menjaga suami yang menghidap penyakit paru-paru kronik selain anak lelaki orang kurang upaya (OKU).
Hanim Azuar Mohamad, 69, berkata, suaminya, Mohd. Sapiee Kamarudin, 74, yang disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak enam tahun lalu kini bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen.
Malah, suaminya itu juga terpaksa kerap berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Selain suami, saya juga perlu menjaga anak yang menghidap sindrom down. Meskipun usianya sudah mencecah 32 tahun, saya masih perlu menguruskan segala keperluannya termasuk aspek kebersihan diri.
“Kalau diikutkan dalam usia begini, sudah tidak sesuai lagi kerana tiada daya tetapi apa boleh buat, ini adalah tanggungjawab dan bahagian saya. Mahu atau tidak, saya perlu teruskan dan reda,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 17, Padang Rengas di sini semalam.
Menurut ibu kepada sembilan anak itu, dia dan suami kini bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal bagi menampung kehidupan, selain sumbangan anak-anak.
Katanya, keadaan penyakit suaminya juga memerlukan mereka menyewa mesin oksigen dengan bayaran bulanan sebanyak RM200.
“Perbelanjaan keluarga sekarang pun dalam RM500 ke RM600 sebulan kerana sejak pakai mesin oksigen ini, bil elektrik meningkat,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Hanim Azuar menerusi nombor telefon 019-4357674 atau menyalurkannya terus ke akaun bank 0820029000221432 (BSN) atas nama Hanim Azuar Mohamad.-UTUSAN.










