SEPANG: Pengurus skuad bawah 23 (B-23) tahun Malaysia, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengingatkan pemain muda negara tidak terperangkap dengan ‘perang psikologi’ yang dicetuskan media di negara itu.
Menerusi beberapa laporan media Indonesia, skuad Garuda Muda yang diletak dalam Kumpulan B bersama skuad Harimau Muda negara serta Timor Leste terpaksa menyenaraikan pasukan kedua pada Kejohanan AFF B-23 selepas kebanyakan kelab di Liga Indonesia tidak melepaskan tonggak utama.
Jelas Shahril, beliau percaya pasukan Indonesia akan tetap menampilkan skuad terbaik dan hadir selaku pasukan pilihan selepas muncul pemenang pingat emas acara bola sepak lelaki di Sukan SEA di Kemboja Mei lalu.
“Ini adalah permainan psikologi, sudah tentu Indonesia mempunyai sasaran mereka kerana mereka merupakan juara di Sukan SEA baru-baru ini dan saya yakin serta pasti mereka ada sasaran tersendiri,” katanya sebelum berlepas bersama skuad B-23 negara ke Bangkok, Thailand semalam.
Menurut Shahril lagi, anak didik E. Elavarasan dilihat sudah bersedia bagi menghadapi kempen kali ini selepas berdepan kegagalan di temasya Sukan SEA lalu.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan beberapa kelemahan dan kepincangan sudah dibaiki oleh barisan kejurulatihan negara.
“Yang baiknya saya lihat selepas dilantik menjadi pengurus pasukan ini adalah barisan kejurulatihan yang diketuai oleh jurulatih Elavarasan sedar apa yang sudah terjadi dalam Sukan SEA yang lalu.
“Jadi kalau barisan kejurulatihan itu sendiri memahami dan menyedari apa kesilapan dan ingin membaiki itu adalah sikap yang saya hormati,” ujarnya.
Pada Jun lalu, Shahril dilantik sebagai pengurus baharu skuad B-23 negara yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi menggantikan Datuk Posa Majais.
Sasaran pasukan muda negara di Thailand nanti adalah mara ke final dan berusaha menjuarai saingan berkenaan.