SINGAPURA: Jurgen Klopp menggesa empat pertahanan Liverpool untuk segera memperbaiki prestasi selepas kekalahan mengecewakan 3-4 kepada Bayern Munich dalam aksi pramusim di Singapura malam tadi.
Jaringan Frans Kratzig seminit selepas memasuki waktu kecederaan memastikan kemenangan Bayern.
Tiga lagi gol juara Bundesliga itu disempurnakan oleh Serge Gnabry, Leroy Sane dan Josip Stanisic.
Reds pula memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Cody Gakpo (minit kedua) dan Virgil van Dijk (28), manakala Luis Diaz meledak gol ketiga.
Liverpool telah melepaskan 10 gol dalam empat perlawanan pramusim pertama mereka, dengan hanya dua daripada kelab yang ditentang bermain dalam liga utama musim ini.

Klopp kecewa dengan pemain pertahanannya selepas kekalahan kepada Bayern dan mengkritik empat daripada mereka.
Kuartet yang akan dipanggil oleh bos Liverpool itu ialah Trent Alexander Arnold, Joel Matip, Joe Gomez dan Ibrahima Konate.
Klopp memerlukan benteng pertahanan berfungsi sepenuhnya jika pasukan itu ingin memenangi trofi dalam tempoh sembilan bulan atau lebih.
“Dalam gol pertama yang kami bolos, Trent dan Joel perlu bertindak lebih baik.
“Kedua-duanya berdiri di atas kedua-dua kaki. Saya tidak fikir hantaran itu boleh kami elakkan.
“Ia kira-kira setengah jam permainan dan kami sudah merasakan intensiti ketika itu. Situasi sama pada separuh masa kedua dengan Joe Gomez dan Ibou Konate.
“Ini bukan tentang kelajuan, ia mengenai kesedaran, periksa keadaan, dalam bola sepak tiada rehat,” kata Klopp seperti dipetik Daily Mail.

Kempen pramusim Liverpool dipenuhi dengan gol.
Mereka bermula dengan aksi persahabatan menentang Karlsruher dan Greuther Furth di Jerman, dengan perlawanan itu masing-masing berakhir 4-2 serta 4-4.
Reds kemudian membelasah Leicester 4-0 sebelum aksi ngeri tujuh gol dengan Bayern.
Klopp begitupun berpuas hati dengan jentera serangan, terutama Darwin Nunez yang telah menemui jaringan empat kali sepanjang pramusim.
Diogo Jota pula menjaringkan tiga gol, manakala Gakpo dan Diaz masing-masing dua gol. Mohamed Salah turut mencipta jaringan ketika menentang Furth.
Liverpool akan berdepan kelab Jerman, SV Darmstadt dalam aksi terakhir pramusim, Isnin ini sebelum membuka kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 13 Ogos. – AGENSI