BRISBANE, Australia: Tiga hari selepas dikecewakan oleh England pada separuh akhir, tiada ‘saguhati’ buat tuan rumah, Australia apabila menutup kempen Piala Dunia Wanita selepas tumpas 0-2 kepada Sweden dalam perebutan tempat ketiga, sebentar tadi.
Beraksi di depan hampir 50,000 penonton lawan di Stadium Suncorp tidak menggentar Sweden, dan mereka membuka jaringan menerusi sepakan penalti Fridolina Rolfo pada minit ke-30 sebelum rembatan Kosovare Asllani menggandakan kedudukan di minit ke-62.
Sweden sememangnya berhak memenangi perlawanan itu dengan menguasai bahagian tengah, malah berjaya mengekang penyerang berbisa Australia Sam Kerr.
Seorang lagi bintang penyerang tuan rumah, Mary Fowler, mengharungi malam yang cuba dilupakan apabila bergelut secara fizikal untuk menyaingi pemain-pemain Sweden secara fizikal.
Sebaliknya, penyerang Sweden, Stina Blackstenius sering mengancam pertahanan Australia sepanjang 63 minit berada di atas padang, malah mencipta gerakan untuk kedua-dua gol yang diperoleh pasukannya. – AGENSI