PETALING JAYA: Hap Seng Consolidated Bhd. (HSCB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Hap Seng Investment Holdings Pte Ltd (HSIH) bersetuju melupuskan keseluruhan pegangan 50.82 peratus dalam Hafary Holdings Ltd (HHL) pada nilai SG$140.03 juta (RM447.9 juta).
Pelupusan itu dibuat susulan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat oleh 23 Capital Pte. Ltd. bagi memperoleh semua saham HHL pada harga SG$0.64 (RM2.04) sesaham secara tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HSCB berkata, HSIH memegang 218.79 juta saham HHL dan telah memberikan aku janji tidak boleh batal untuk menerima tawaran berkenaan, termasuk bagi mana-mana saham atau sekuriti HHL yang mungkin diperoleh atau diterbitkan kepadanya selepas tarikh aku janji itu.
“Pada masa sama, pemegang saham 23 Capital, Low See Ching, Low Kok Ann dan Low Bee Lan, Audrey, yang secara kolektif memegang 168.53 juta saham atau 39.14 peratus kepentingan dalam HHL, turut memberikan aku janji tidak boleh batal untuk menerima tawaran tersebut.
“Secara keseluruhan, saham yang tertakluk kepada aku janji HSIH dan pemegang saham 23 Capital berjumlah 387.32 juta saham HHL atau kira-kira 89.96 peratus daripada jumlah saham HHL yang diterbitkan,” katanya.
Menurut HSCB, harga tawaran SG$0.64 sesaham memberikan premium SG$0.40 (RM1.25) sesaham berbanding kos pelaburan awal HSIH dalam HHL sebanyak SG$0.24 (76 sen) sesaham.
Katanya, harga tawaran itu juga mewakili premium berbanding harga pasaran semasa serta harga dagangan sejarah saham HHL.
“Pelupusan berkenaan membolehkan HSIH merealisasikan pelaburannya dalam HHL.
“Cadangan pelupusan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham HSCB atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan dan tidak tertakluk kepada pelaksanaan korporat atau skim lain oleh HSCB,” ujarnya
HSCB turut memaklumkan pelupusan itu tidak akan menyebabkan syarikat menjadi syarikat tunai atau berstatus PN17 berdasarkan penyata kewangan disatukan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Tambahnya, pelupusan berkenaan dijangka selesai pada Disember 2026, tertakluk kepada penutupan tawaran yang berjaya.
“Maybank Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama HSCB bagi cadangan pelupusan itu.
“Tiada pengarah, pemegang saham utama HSCB atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam cadangan pelupusan tersebut,” katanya. – UTUSAN











