MINET perlu kenal pasti keutamaan pelaburan

MINET perlu kenal pasti keutamaan pelaburan

SYED IBRAHIM SYED NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Adaptasi Negara Malaysia (MINET) perlu membantu mengenal pasti keutamaan pelaburan serta menggerakkan pembiayaan awam dan swasta bagi memperkukuh daya tahan negara terhadap perubahan iklim.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pelan itu perlu melangkaui usaha mengenal pasti risiko iklim dengan menterjemahkannya kepada strategi serta peluang pelaburan yang boleh dilaksanakan merentasi sektor utama.

“MINET juga perlu membantu mengenal pasti keutamaan pelaburan, menggerakkan pembiayaan awam dan swasta serta menerapkan kesiapsiagaan iklim dalam keputusan yang kita buat hari ini,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan JC3 Journey to Zero 2026, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

MINET memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu sumber air dan pesisir pantai, pertanian dan sekuriti makanan, infrastruktur dan bandar, perhutanan dan biodiversiti serta kesihatan awam.

Beliau berkata, tumpuan itu penting ketika Malaysia berdepan peningkatan suhu, kenaikan paras laut serta keadaan cuaca yang semakin ekstrem.

“Komunikasi Kebangsaan Keempat Malaysia mengunjurkan suhu purata negara boleh meningkat antara 1.7 darjah Celsius hingga 2.1 darjah Celsius menjelang 2100, manakala paras laut di sepanjang pantai Malaysia boleh meningkat sehingga 0.74 meter.

“Perubahan corak hujan serta kejadian cuaca basah dan kering yang lebih ekstrem turut boleh memberi kesan kepada bandar, infrastruktur, sekuriti makanan, kesihatan awam, perniagaan dan masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, cabaran utama adalah menterjemahkan aspirasi iklim Malaysia kepada pelaksanaan, selain memastikan projek yang berdaya maju mampu menarik modal yang diperlukan.

“Perkara ini memerlukan kerjasama lebih erat antara kerajaan dan sektor kewangan, dengan pembuat dasar menetapkan keutamaan negara, manakala institusi kewangan menyediakan kepakaran dalam penilaian risiko, daya maju projek dan penggemblengan modal.

“Ujian sebenar adalah sama ada aspirasi dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan dan sama ada pelaksanaan yang berdaya dipercayai mampu menarik modal yang diperlukan,” katanya.

Antara platform yang boleh dimanfaatkan ialah Climate Finance Innovation Lab (CFIL), dengan kumpulan kedua program itu merangkumi 22 projek berkaitan iklim dan alam semula jadi yang memerlukan kira-kira RM1.73 bilion pembiayaan.

Syed Ibrahim turut menggesa institusi kewangan, pelabur dan penyedia modal lain supaya melibatkan diri dalam inisiatif seperti CFIL.

“Penyelesaian iklim yang berpotensi memerlukan model perniagaan yang berdaya maju, struktur pembiayaan serta laluan yang jelas untuk diperluaskan.

“Bagaimanapun, pembiayaan iklim tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah modal yang berjaya digerakkan semata-mata.

“Sebaliknya, pembiayaan berkenaan akhirnya perlu menghasilkan perniagaan yang lebih kukuh, komuniti lebih selamat, kehidupan yang lebih berdaya tahan serta ekonomi yang lebih bersedia menghadapi risiko iklim pada masa depan,” jelasnya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, Malaysia terus memperkukuh rangka kerja dasar dan kawal selia sebagai asas kepada peralihan iklim negara.

“Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dicadangkan bertujuan memperkukuh tadbir urus iklim, pengurusan dan pelaporan pelepasan, selain menyediakan asas perundangan yang lebih jelas bagi tindakan berkaitan iklim termasuk aktiviti pasaran karbon.

“Malaysia juga mengekalkan aspirasi untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050, manakala Sumbangan Ditentukan Negara Ketiga (NDC 3.0) menetapkan sasaran pengurangan pelepasan mutlak pada skala ekonomi antara 15 juta hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2035,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×