MANCHESTER: Prestasi menakjubkan Erling Haaland yang meledak 36 gol pada musim pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) membolehkan dia dinobat sebagai Pemain Terbaik Lelaki PFA .
Penyerang Norway itu menjadi tonggak Manchester City ketika merangkul gelaran treble Liga Juara-Juara buat kali pertama, selain mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga.
Secara keseluruhan, Haaland, 23, menikmati musim pertama yang hebat bersama City apabila menjaringkan 52 gol dalam semua pertandingan.
Bintang England dan Aston Villa, Rachel Daly pula dinobat sebagai Pemain Terbaik Wanita.
Bukayo Saka, 21, yang membantu Arsenal muncul naib juara EPL dan memberi tekanan berterusan kepada City sepanjang musim, dinobat sebagai Pemain Muda Terbaik Lelaki PFA.

Penyerang England dan Chelsea, Lauren James menerima anugerah Pemain Muda Wanita Ternaik.
Dianjurkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), anugerah itu memberi pengiktirafan kepada pemain lelaki dan wanita terbaik dalam bola sepak Inggeris pada tahun 2023.
Haaland mengatasi rakan-rakan sepasukan, John Stones dan Kevin De Bruyne, gandingan Arsenal, Saka dan Martin Odegaard serta bekas penyerang Tottenham, Harry Kane yang kini beraksi bersama Bayern Munich.
“Ia satu penghormatan besar memenangi anugerah berprestij ini. Diiktiraf oleh pesaing anda satu perasaan yang sangat hebat dan saya ingin ucap terima kasih kepada semua yang mengundi saya.
“Ia musim yang tidak mungkin dilupakan oleh pasukan dan untuk saya. Memenangi treble sesuatu yang tidak pernah saya impikan, jadi mencapainya dengan kumpulan pemain istimewa sangat menakjubkan.
“Kami mencipta beberapa detik luar biasa musim lalu tetapi kini kami mahu melakukan perkara yang sama sekali lagi tahun ini. Kami memulakan musim dengan baik dan perlu meneruskannya,” kata Haaland. – AGENSI