PIRAEUS, Greece: Kejayaan menjulang Piala Super UEFA hanya satu permulaan dalam misi melengkapkan koleksi trofi, kata pengendali Manchester City, Pep Guardiola.
City memenangi trofi pertamanya pada musim baharu dengan menumpaskan Sevilla menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Athens, awal pagi tadi.
Juara Eropah itu bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada babak pertama hasil tandukan Youssef En-Nesyri sebelum gol penyamaan Cole Palmer pada minit ke-63 mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Anak-anak buah Guardiola menyempurnakan semua lima tendangan penalti, manakala sepakan pertahanan Sevilla, Nemanja Gudelj singgah di palang gol.
Jika memenangi Piala Dunia Kelab pada Disember ini, City akan melengkapkan koleksi kejuaraan sejak dibimbing oleh Guardiola.
Mereka sudah pun memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris, empat Piala Liga, dua Piala FA serta satu Liga Juara-Juara.
“Kami amat berbangga untuk memenangi kejuaraan ini bersama kelab.
“Kami hanya kekurangan satu lagi trofi untuk melengkapkan koleksi dan memiliki semua kejuaraan yang boleh kami menangi,” kata Guardiola.
Bagaimanapun Guardiola mengakui pasukannya tidak beraksi baik menentang Sevilla. – AGENSI