KOTA BHARU: Memahami kos menguruskan sebuah kelab Liga Malaysia (Liga M) tidak murah dan mudah, legenda bola sepak Kelantan, Wan Ezila Daud menggesa tokoh korporat berpengaruh negeri dan penyokong bersatu menyelamatkan The Red Warriors (TRW).
Katanya, pembentukan konsortium dilihat sebagai jalan terbaik untuk membantu bola sepak negeri itu kembali ke zaman kegemilangan.
Datuk Wira (Dr.) Ameer Ali Mydin, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, Datuk Mohd. Rowi Dollah dan Profesor Dr. Wan Kamal Wan Napi antara tokoh yang mampu menyelamatkan bola sepak Kelantan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Wan Eliza, bekas bintang tengah Kelantan era 1980-an dan 1990-an menegaskan, menguruskan sebuah kelab bola sepak sangat sukar dan pemilik tidak boleh sekadar memikirkan keuntungan daripada pelaburan yang dibuat.

Menurutnya, masalah pembayaran gaji juga tidak sepatutnya timbul apabila pasukan diswastakan dan bergerak secara profesional kerana ia akan menyebabkan moral pemain hilang sekali gus melemahkan pasukan.
“Jika masalah gaji tetap berlaku sekarang maknanya tiada apa-apa perbezaan sewaktu pasukan masih di bawah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), jadi tiada guna dilaksanakan penswastaan dan membentuk kelab profesional.
“Saya tidak mahu komen lebih kerana tidak pasti tahap pengurusan Kelantan FC ketika ini. Namun masalah sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah kelab bola sepak profesional,” katanya.
Wan Ezila menjelaskan masalah utama yang mematikan semangat ‘Gomo Kelate Gomo’ adalah kehilangan moral pemain dan penyokong.
“Pengurusan bola sepak sangat susah dan memerlukan kerja berpasukan, jadi cara terbaik kumpulkan mereka yang berpengaruh di negeri ini untuk tubuhkan konsortium dan beli kembali Kelantan FC.
“Itu langkah terbaik dan ia perlu disegerakan demi menyelamatkan bola sepak Kelantan. Pasti lain semangatnya bila kelab bola sepak itu dipegang anak Kelantan sendiri,” katanya.

Katanya, apabila diwujudkan sebuah konsortium pasti individu berpengaruh akan mengisi kerusi kepimpinannya dan akan ada satu persetujuan untuk melantik seorang ketua yang mampu membawa kembali pasukan ke arah kegemilangan.
“Paling penting sekarang adalah selamatkan pasukan dahulu,” katanya.