KOTA BHARU: Dewan Ulama Pas Kelantan mengakui ada wakil rakyat parti itu memberi khidmat kurang bermutu, namun enggan mendedahkan secara terperinci mengenainya.
Ia berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Dewan Ulama Pas Kelantan itu ke atas prestasi semua wakil rakyat parti berkenaan di negeri ini.
Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail sebaliknya berkata, kelemahan yang ada direkodkan dan terus diperbaiki.
“Kita akui ada antara wakil rakyat beri khidmat kurang bermutu tetapi tidak akan mendedahkan secara umum. Ada kelemahan kita rekodkan dan terus perbaiki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Bengkel Koperasi Pertanian Al-Falah di Desa Gemalai Baruh Padi Alami, Lubok Jambu, di sini hari ini.
Tuan Mohd. Saripudin berkata, Dewan Ulama Pas Kelantan juga akan turut mengemukakan cadangan calon pilihan raya bagi mengimbangi senarai, sekali gus melengkapi aspirasi Membangun Bersama Islam (MBI).
“Dewan Ulama adalah sebahagian daripada Jawatankuasa Hatian Pas Kelantan dan bertanggungjawab menstabilkan senarai calon bagi memenuhi keperluan parti dan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, Dewan Ulama Pas Kelantan sudah selesai membuat penilaian calon termasuk penilaian prestasi wakil-wakil rakyat sedia ada bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab sebagaimana sepatutnya.
Katanya, penilaian turut merangkumi aduan-aduan yang diterima daripada rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai prestasi semasa setiap wakil rakyat berkenaan.
Katanya, aspek tersebut juga antara elemen terpenting dalam proses penilaian prestasi wakil rakyat sedia ada kerana ia secara tidak langsung menggambarkan mutu perkhidmatan mereka di kawasan-kawasan diwakili.
“Kita akan melihat setiap aduan yang diterima, sama ada dari segi mutu perkhidmatan, akhlak dan hubungan dengan rakyat. Kalau ada (wakil rakyat) beri khidmat kurang bermutu atau tidak buat kerja, kita akan panggil dan beri nasihat supaya mereka memperbaiki diri.
“Ini merupakan. Sebahagian daripada langkah persediaan bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.
Menurut Tuan Mohd. Saripudin, proses penilaian prestasi wakil rakyat terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap kawasan turut dibantu oleh pasukan dari Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.
“Jadi, kita (Pas) tidak perlu risau. Bila-bila masa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu umumkan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pun tidak ada masalah. Kita bersedia pada bila-bila masa. Tahun ini atau tahun depan, tak ada masalah,” katanya. – UTUSAN










