Masalah bahagian intim atau vagina berbau seperti ikan masin adalah penyakit serius yang bukan saja boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan wanita tetapi juga boleh menghancurkan kebahagiaan dalam rumahtangga.
Justeru wanita yang berdepan masalah ini tidak boleh berdiam diri dengan mengharapkan bau yang tidak menyenangkan ini hilang dengan sendiri sebaliknya ia perlu di atasi dengan menjalani rawatan dengan berjumpa doktor.
Doktor Penjagaan Kesihatan Primer, Datuk Dr. Bryant Yap Ceong Cur berkata, berdasarkan pengalamannya dalam penjagaan kesihatan, lebih 50 hingga 60 peratus kes sakit puan yang ditemukan adalah berkaitan jangkitan bakteria yang berlaku pada vagina dan menyebabkan bau tidak menyenangkan.
“Sekiranya masalah ini tidak dirawat dengan betul, keadaan lebih serius boleh berlaku seperti penyakit radang pelvik (PID). Bau vagina berlaku akibat ketidakseimbangan bakteria baik dan jahat dalam vagina.
“Laktobasilus adalah bakteria baik dalam vagina menghasilkan asid laktik sebagai lapisan perlindungan kepada vagina bagi mencegah jangkitan teruk di masa depan.
“Laktobasilus menghasilkan asid laktik dan mengekalkan persekitaran berasid (pH 3.8 – 4.5) untuk mencegah jangkitan seperti vaginosis bakteria (BV) dan jangkitan yis. Kekurangan bakteria ini juga dikaitkan dengan risiko jangkitan, kelahiran pramatang dan keradangan,” jelasnya.
Dr. Braynt berkata, kebanyakan wanita bercerita mengenai masalah itu secara kebetulan apabila datang berjumpa doktor kerana masalah kesihatan lain seperti demam atau selsema.
Bau yang dihasilkan sangat tidak menyenangkan walaupun selepas dicuci. Keadaan ini boleh berlaku kerana salur kencing wanita lebih pendek, memudahkan bakteria untuk masuk ke bahagian vagina.
Jika tidak menjaga kebersihan terutama ketika haid, wanita lebih berisiko untuk mengalami bahagian intim berbau akibat pengumpulan bakteria jahat.
Sebaiknya tukar pad dengan lebih kerap, minum banyak air dan pastikan cukup tidur selain menggunakan pencuci khas bahagian intim.
“Rawatan biasanya menggunakan antibiotik atau antifungal namun mengekalkan keseimbangan bakteria baik dan jahat di dalam vagina adalah sangat penting. Sebagai contoh mudah, bakteria jahat adalah ‘pendatang asing’. Jadi, bagi mencegah bakteria jahat terus bertambah, cara terbaik dan terpantas adalah meningkatkan jumlah bakteria baik,” katanya.
Dr. Bryant berkata demikian pada sesi perbincangan mengenai masalah vagina berbau sempena majlis menandatangani memorandum antara Universiti Malaya dan SATEERA® Sdn. Bhd. yang membangunkan produk Redfores, pencuci bahagian intim wanita, baru-baru ini.
SATEERA® adalah produk yang dibangunkan oleh syarikat bioteknologi Malaysia, BioNexus yang menjalankan pembangunan saintifik sejak sedekad lalu bermula dari Universiti Malaya. Kajian menumpukan teknologi anti jangkitan terpilih yang menghalang bakteria jahat dan pada masa sama melindungi bakteria baik.
Pengarah Pusat Inovasi Agriteknologi Bioproses Lanjutan (ICA),Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ketua Penasihat Saintifik SATEERA®, Prof. Dr. rer. Nat.Hesham Ali El Enshas berkata, pencuci bahagian sulit wanita menggunakan konsep mudah iaitu menggunakan sisa terbuang dalam industri pembuatan arang.
“Ia adalah sisa yang sudah digunakan sejak dulu lagi. Apabila mereka menghasilkan arang, gas yang dihasilkan yang tidak baik untuk udara, kami gunakan gas ini dan ditukarkan kepada produk.
Gas ditukar ke dalam bentuk cecair dan cuka kayu untuk menghasilkan produk. Pada masa sama menyelamatkan alam sekitar.
“Terdapat banyak bahan kimia semulajadi di dalamnya dan kita buat pelbagai kajian berkaitan pelbagai mikrob. Pelbagai proses dijalankan dan kami cuba memahami fungsi setiap satunya sejak 10 tahun lalu,” terangnya.
Katanya lagi, dalam tubuh manusia, terdapat mikrob beribu kali lebih banyak daripada sel tubuh. Tanpa mikrob ini, manusia tidak boleh hidup.
Bagaimanapun, sangat penting untuk membezakan antara mikrob baik dan jahat, supaya mikrob baik tidak di bunuh.
Katanya lagi, kira-kira 50 tahun dulu, apabila bercakap mengenai bakteria pada tubuh seperti kulit, vagina atau organ lain, ia dikaitkan dengan penyakit. Namun kini, bakteria dikaitkan dengan kesejahteraan.
Bukan semua bakteria bahaya tetapi penting untuk berada di kawasan berkenaan. Bagi membezakan bakteria baik dan jahat, antijangkitan pintar sangat penting. Ia membunuh bakteria jahat dan pada masa sama melindungi bakteria baik.

BAKTERIA BAIK DAN JAHAT PERLU SEIMBANG
Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Ginekologi Kosmetik, Columbia Asia Iskandar Puteri, Dr. Quek Yek Song berkata, bakteria baik dan jahat perlu seimbang sama ada dalam vagina atau usus untuk setiap individu kekal sihat. Keadaan ini dikenali sebagai flora normal.
“Tanpa flora normal ini, kita memerlukan probiotik. Masalahnya pada masa kini, anti fungal atau antibakteria akan membunuh bakteria baik dan jahat pada masa yang sama. Jadi, bagi mendapatkan mengembalikan keadaan semulajadi vagina, kita perlu mengambil probiotik.
“Laktobasilus mengeluarkan asid laktik yang mengawal PH vagina kira-kira 4.5 yang menghalang bakteria dan fungal lain tinggal di dalam vagina.
“Bagaimanapun selepas rawatan, ia membunuh semua bakteria ini. Sekiranya flora normal ini tidak diganti, keadaan ini akan berulang lagi,” katanya.
Tambahnya, pada masa ini, doktor menasihatkan wanita supaya tidak memancutkan air ke dalam vagina kerana air paip mengandungi klorin yang boleh membunuh semua bakteria baik.
Bagi mengekalkan kesihatan vagina, pelbagai jenis jangkitan boleh dicegah yang bermula dari vagina sendiri ke saluran kencing. Ia boleh meyebabkan penyakit radang pelvik di mana seterusnya boleh menjangkiti rahim, tiub fallopian serta menjejaskan kesuburan wanita.
“Lebih merisaukan jika bau tidak menyenangkan ini sering berulang, ia sangat tidak menyenangkan terutama bagi pasangan. Gejalanya adalah bau seperti ikan busuk yang juga menjejaskan keyakinan diri wanita untuk bersama pasangan dan berjumpa orang ramai.
“ Masalah ini juga perlu diatasi segera kerana ia boleh menyebabkan jangkitan pada organ kesuburan wanita seterusnya menganggu kesuburan selain boleh menyebabkan penyakit lebih serius seperti kanser,” katanya.- UTUSAN










