PETALING JAYA: Selangor FC sudah melupakan kekalahan pahit kepada Sri Pahang minggu lalu apabila bangkit membenam Penang FC 3-0 dalam aksi Liga Super di malam ini.
Sebelum turun beraksi, Reds Giants bukan sahaja dibayangi kekalahan 1-0 kepada Sri Pahang dalam aksi terakhir liga, malah kehilangan dua tonggak import akibat kecederaan, Yazan Al-Arab dan Richmond Ankrah.
Begitupun anak-anak buah Tan Cheng Hoe tidak membiarkan semua nasib malang tersebut mengganggu permainan mereka dengan bermula agresif sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan.
Turut menggembirakan Cheng Hoe, penyerang baharu mereka, Richmond Boakye membuka akaun jaringan bersama Selangor dalam penampilan keduanya.
Pemain tengah dari Jordan, Noor Al Rawabdeh meletakkan Selangor di depan pada minit ke-28 selepas merembat bola yang bermula dari gerakan serangan balas.
Bersambung babak kedua, Muhammad Hadin Azman terlepas peluang untuk meledak gol penyamaan Penang FC selepas gerakannya berjaya dipintas Safuwan Baharudin di dalam kotak penalti pada minit ke-49.
Sembilan minit berselang, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bergema dengan sorakan penyokong selepas Boakye meledak gol kedua tuan rumah hasil hantaran Yohandry Orozco.
Pada minit ke-78, laungan ‘siuuu’ bergema apabila pemain sayap lincau, Faisal Halim menambah gok ketiga buat Selangor.
Kemenangan itu memastikan Selangor mengukuhkan kedudukan tangga kedua liga dengan mengumpul 37 mata.
Penang FC yang mengalami kekalahan kelapan musim ini berada di kedudukan ke-10 dengan 19 mata. – UTUSAN ONLINE