PETALING JAYA: Nama Kelantan FC terus ‘panas’ di Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila bekas pemain import mereka, Kervens Belfort pula dipercayai menang kes yang difailkan menentang pasukan terbabit.
Difahamkan, penyerang dari Haiti itu memfailkan tuntutan kepada FIFA berkaitan kontraknya bersama The Red Warriors (TRW) selepas disisihkan oleh pasukan terbabit musim ini biarpun pada mulanya dijanjikan tempat dalam skuad.
“Terima kasih FIFA, saya menang kes saya melawan Kelantan,” kata Belfort secara ringkas di laman Instagramnya tanpa mendedahkan secara terperinci tentang kes yang difailkan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Pada awal musim ini, Belfort telah meluahkan sesuatu yang mengejutkan para peminat bola sepak pasukan Kelantan apabila dia yang ketika itu mengalami kecederaan secara tiba-tiba mengucapkan selamat tinggal buat TRW.
Sebelum itu status Belfort bersama pasukan Kelantan musim 2023 masih samar-samar selepas beliau berehat panjang musim lalu akibat kecederaan yang dialami namun, dia mendedahkan bahawa dirinya tidak bersalah selepas disisihkan oleh pasukan.
Belfort merupakan antara pemain import yang sebelum ini dikatakan akan dikekalkan pasukan Kelantan selain seorang lagi pemain import dari Indonesia, Natanael Siringoringo namun, kelibat kedua-dua mereka tiada dalam skuad Kelantan musim ini.
Untuk rekod, Belfort hadir ke Kelantan pada Januari tahun lalu bagi mengisi slot pemain import dalam usaha Kelantan mara ke Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, itu bukan satu-satunya kes Kelantan di FIFA kerana kelmarin ejen dari Korea Selatan, Myeongho Jeong di laman Instagram miliknya turut mendakwa bekas pengendali TRW, Choi Moon Sik menang kes yang difailkan mereka kepada FIFA.
Jeong tidak menjelaskan secara terperinci tentang kes tersebut namun, keputusan itu memberi gambaran jelas bahawa Kelantan FC kemungkinan berdepan hukuman termasuk denda yang akan menjejaskan masa depan pasukan berkenaan.-UTUSAN