PETALING JAYA: Selepas desas-desus kedengaran sejak semalam, Selangor FC akhirnya mengesahkan bintang mereka, Faisal Halim digantung empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Jawatankuasa Tatatertib menjatuhkan hukuman tersebut ekoran kenyataan media yang dibuat pemain kebangsaan itu selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah di Likas pada 27 April lalu.
Keputusan itu dimaklumkan kepada Selangor hari ini, selepas wakil kelab dan pemain hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib untuk perbicaraan semalam.
Selangor FC dalam satu kenyataan bagaimanapun menjelaskan Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey digantung sebulan dahulu bermula semalam hingga 23 Ogos ini.
Kelab itu berkata, baki tiga bulan lagi ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain sayap berusia 25 tahun itu dalam tempoh 12 bulan dari tarikh 24 Ogos tahun ini hingga 24 Ogos tahun hadapan.
“Oleh itu, beliau (Faisal) tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC,” kata kelab dalam satu kenyataan sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE