Pusat data jadi pemangkin pelaburan strategik, peluang pekerjaan

Pusat data jadi pemangkin pelaburan strategik, peluang pekerjaan

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat data perlu menjadi pemangkin kepada pelaburan strategik yang lebih meluas, termasuk dalam tenaga boleh diperbaharui, rantaian bekalan dan penciptaan pekerjaan berkualiti.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, pendekatan pelaburan perlu bersifat menyeluruh membabitkan keseluruhan rantaian nilai agar manfaatnya dapat dirasai lebih meluas, bukan sahaja dalam sektor teknologi tetapi juga pembangunan ekonomi dan alam sekitar.

“Kita perlu pelaburan rantaian nilai secara menyeluruh ke dalam pusat data. 

“Ia bukan hanya pusat data semata-mata, tetapi kita juga perlu mengoptimumkan nilai pelaburan tersebut menjadi pemangkin kepada peralihan grid tenaga serta mencetuskan pelaburan baharu dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi panel Deciphering Malaysia’s Investment Cycles sempena Sasana Simposium di sini, semalam. 

Beliau berkata, pusat data juga berpotensi besar mewujudkan lebih banyak pekerjaan bukan sahaja dalam fasiliti itu sendiri, malah di luar pusat data sebagai sebahagian daripada pembangunan ekosistem digital negara.

Dalam masa sama, beliau menekankan pentingnya pelaburan dalam transformasi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh agar Malaysia dapat membina persekitaran digital yang berdaulat dan lestari.

“Kita juga mahu mewujudkan peluang bagi Malaysia membangunkan persekitaran berdaulat melalui transformasi AI, di samping menangani isu phantom demand yang timbul akibat pembinaan bersifat spekulatif dalam pusat data,” katanya. 

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, kerajaan mahu memastikan hanya pengendali yang tulen dan berkeupayaan tinggi berada dalam sistem, demi menjamin kelestarian pelaburan jangka panjang.

“Kita tidak mahu melihat pembinaan spekulatif. Kita mahu pengendali sebenar dengan kapasiti sebenar berada dalam sistem,” ujarnya.

Mengulas perkembangan industri, beliau turut menyambut baik kehadiran syarikat besar dan pemilik jenama global yang bukan sekadar menyewa ruang pusat data, tetapi turut membina fasiliti mereka sendiri di Malaysia.

“Kini kita lihat bukan sahaja penyedia perkhidmatan (co-locators), malah pemilik jenama dan hyperscaler turut membina pusat data mereka sendiri di Malaysia. Ini satu perkembangan yang sangat baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN