PASIR SALAK: Kampung Bandar atau ‘Bando’ dalam loghat penduduk tempatan di sini menjadi kampung paling sunyi kerana mengalami kekurangan penduduk.
Lokasi itu yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah pemerintahan Sultan Perak dan paling sibuk pada abad ke-18, namun akibat penghijrahan, kampung yang terletak 18 kilometer dari pekan kecil Kampung Gajah itu hampir tiada penduduk.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat tiga rumah namun penghuninya tiada, difahamkan mereka sedang bekerja di kebun sawit dan dikatakan tidak lagi tinggal di situ sebaliknya hanya datang pada waktu siang untuk ke kebun.
Menurut seorang penduduk kampung berdekatan, Azhar Abdullah, 55, suasana kampung itu sudah lama sunyi sehinggakan sukar melihat penduduk menjalankan kegiatan harian.
Katanya, keadaan itu berbeza berbanding sebelum ini ketika masih ramai penduduk suasananya seperti kampung lain yang sibuk dengan kegiatan seharian.
“Sebelum ini apabila cuti sekolah atau majlis kenduri kahwin dan hari raya, ramai yang balik kampung. Masjid dan surau kedengaran suara azan, anak-anak muda riuh rendah bermotosikal ramai-ramai atau berbual di kedai dan di tebing sungai ramai yang memancing ikan.
“Namun suasana itu sudah berubah sama sekali, keadaan sudah menjadi sunyi sepi tak kira cuti sekolah atau hari raya, sebab ramai yang sudah berhijrah.
“Saya pun tak dapat nak gambarkan bagaimana masa depan kampung ini, mungkin akan terus sepi dan lama kelamaan mungkin akan ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.
Menurutnya, jika ada pun yang datang hanyalah penduduk pernah tinggal di situ sebelum ini untuk melihat dusun durian atau kebun kelapa sawit.
“Merugikan jika kampung ini ditinggalkan begitu sahaja kerana di sini pernah menjadi kawasan yang sibuk suatu masa dahulu, sebab itu dinamakan ‘bando’,” katanya.
Kampung Bandar pernah menjadi pusat pemerintahan negeri serta menempatkan makam Sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Dzulkarnain (mangkat 1765) dan Sultan Perak ke-21, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (mangkat 1851).
Namun akibat banjir besar pada 2014 menyebabkan ramai penduduk dipindahkan ke Taman Tan Sri Megat di Bukit Chawi di jalan besar menghala Seberang Perak di sini.-UTUSAN











