LONDON: Liverpool dilaporkan telah mengemukakan tawaran 200 juta euro (RM1.01 bilion) untuk penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, menurut portal sukan Sepanyol, El Chiringuito.
Wartawan mereka, Edu Aguirre mendakwa, perkara tersebut keluar daripada mulut pegawai PSG sendiri ketika rundingan dengan Real Madrid juga sedang berjalan.
“Apa yang berlaku dalam beberapa jam terakhir di pejabat Paris Saint-Germain ialah mereka telah menerima tawaran daripada Liverpool.
“Liverpool telah menyertai rundingan dengan meletakkan 200 juta euro untuk Kylian Mbappe,” katanya.
Katanya, tawaran daripada Liverpool tiba dalam beberapa jam lalu.
“Semalam, Nasser Al-Khelaifi (Presiden PSG) secara rasmi mengesahkan akan menjual pemain terbaik mereka, Kylian Mbappe. Kelab Inggeris itu bertindak dengan sangat cepat,” katanya.
Sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan, ia menghapuskan rekod perpindahan Britain 106 juta pound (RM629.94) juta yang dibayar Chelsea kepada Benfica untuk Enzo Fernandez.
Mbappe akan dijual selepas enggan mengaktifkan klausa yang melanjutkan kontraknya sehingga 2025. Anfield kini muncul sebagai destinasi berpotensi untuk bintang Perancis berusia 24 tahun itu.
Aguirre mendedahkan: “Apa yang berlaku, dalam beberapa jam terakhir, di pejabat PSG ialah tawaran daripada Liverpool telah tiba. Liverpool telah memasuki tempat kejadian. Liverpool telah membuat tawaran 200 juta euro untuk Mbappe.” – AGENSI