PETALING JAYA: Liga 1 Indonesia dikatakan liga bola sepak termahal di rantau Asia Tenggara menewaskan Liga Thailand dan Liga Super Malaysia.
Perkara itu didedahkan oleh Transfermarkt, platform bola sepak Jerman yang memfokuskan kspada statistik, perpindahan, kontrak serta mata jualan untuk pemain, kelab dan pertandingan bola sepak.
Pertandingan Liga 1 Indonesia dikatakan mempunyai nilai pasaran 75.99 juta euro (RM390.11 juta).
Ini berdasarkan harga jualan semasa 18 kelab Liga 1, dengan Persib Bandung menjadi yang paling mahal pada 5.83 juta euro (RM29.93 juta).

Di tempat kedua ialah Liga 1 Thai yang merupakan pertandingan ‘kasta’ tertinggi Liga Thailand.
Liga 1 Thai dikatakan mempunyai nilai 73 juta euro (RM374.76 juta).
Buriram United adalah kelab termahal dalam liga utama Thailand dengan nilai sehingga 10.50 juta euro (RM53.90 juta),
diikuti BG Pathum United dengan 8.93 juta euro (RM45.84 juta).

Liga Malaysia (Liga M) berada pada kedudukan ketiga paling bernilai di Asia Tenggara.
Liga Super dianggarkan mempunyai nilai jualan 53.74 juta euro (RM275.88 juta).
Kelab paling mahal dalam Liga Super ialah Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan dianggarkan bernilai 8.90 juta euro (RM45.69 juta). –
Pertahanan JDT dari Indonesia, Jordi Amat muncul pemain paling bernilai dalam Liga M dengan anggaran 900,000 euro (RM4.62 juta).
Liga Vietnam dengan nilai 41.13 juta euro (RM211.15 juta) berada di tangga keempat.- UTUSAN ONLINE