MIAMI: Beberapa kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) melakukan perubahan drastik dengan menukar rumput padang ekoran kehadiran bintang sensasi Argentina, Lionel Messi ke liga berkenaan.
Selepas menandatangani kontrak dua tahun setengah bersama Inter Miami, Messi diperkenalkan dalam majlis istimewa di Stadium DRV PNK, Ahad lalu yang menyaksikan jualan tiket habis kerana ramai mahu melihat pemain terbaik dunia itu.
Messi akan membuat penampilan sulung menentang pasukan Mexico Cruz Azul dalam Piala Liga pada 21 Julai bahkan terdapat desas desus bahawa harga tiket naik mendadak kerana peminat mahu melihat pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu beraksi.
Perpindahan Messi ke Amerika merupakan perjanjian terbesar dalam MLS sehingga pesuruhjaya liga, Don Garber memperincikan beberapa perubahan penting antaranya langkah keselamatan kerana Messi akan bermain di atas rumput tiruan.

Buat masa ini, kelab seperti Seattle Sounders, Portland Timbers, New England Revolution Atlanta United dan Charlotte FC semuanya mempunyai permukaan rumput palsu dengan Messi dijangka bertemu dua daripadanya tidak lama lagi.
Sebahagian besar kerjaya Messi banyak bermain di atas rumput tulen dan sebab itu timbul kebimbangan mengenai potensi risiko kecederaan daripada permukaan sintetik.
“MLS mempromosikan banyak perlawanan antarabangsa dan kami telah membawa rumput semula jadi ke dalam stadium tersebut, namun kami tidak pernah melakukannya untuk perlawanan musim biasa.
“Jangkaan saya ialah, kebanyakan kelab akan menukar rumput tetapi untuk melakukan itu, banyak kerja perlu dilakukan.
“Ramai bintang antarabangsa menyertai MLS, dan perkara yang paling menjadi keutamaan bagi mereka adalah untuk bermain di atas rumput asli.
“Bagaimanapun ada juga bintang seperti Thierry Henry dan Kaka yang pernah bermain di atas rumput palsu,” katanya. – AGENSI