LIKAS: Pasukan Kuching City berputih mata untuk mengutip satu mata di tempat lawan apabila Ramon Machado memastikan kemenangan berpihak kepada Sabah dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas hari ini.
Sabah bermula dengan baik apabila Saddil Ramdani meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit ke 12.
Saddil sekali memainkan peranan apabila dia membuat hantaran pada minit ke 26 untuk Ramon Machado menanduk bola ke gawang bagi meletakkan Sabah semakin selesa mendahului untuk aksi di babak pertama.
Bagaimanapun detik kebangkitan Kuching City bermula di babak kedua apabila Amir Amril Salleh melepaskan rembatan kencang pada minit ke 55 untuk menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.
Tiga minit berselang, Sabah membalas apabila Stuart Wilkin sekali lagi meledak apabila melakukan rembatan voli untuk meletakkan pasukannya sekali lagi dihadapan.
Kuching City tidak berputus asa apabila Abu Kamara berjaya mengelecek empat pemain pertahanan Sabah sebelum menjaringkan gol untuk merapatkan jurang menjadi 3-2.
Abu Kamara terus memainkan peranan penting dalam pasukan apabila menyamakan kedudukan menjadi 3-3 selepas menanduk kemas bola ke gawang Sabah pada minit ke 86.
Tatkala Kuching City sudah pun merasakan mereka akan meninggalkan Stadium Likas dengan satu mata, Ramon menjadi wira tuan rumah apabila menyempurnakan hantaran daripada Amir Yahyah pada masa tambahan untuk memastikan Sabah menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-3.