LONDON: Steven Gerrard berdepan kekecewaan selepas usaha membawa masuk bekas rakan sepasukannya dari Liverpool, Jordan Henderson ke Al-Ettifaq tidak berjaya.
Akhbar Daily Mail sebelum ini melaporkan Henderson dan penyerang Chelsea, Pierre-Emerick Aubameyang menjadi buruan Gerrard selepas dilantik sebagai pengurus kelab Arab Saudi itu.
Dalam masa sama, legenda Liverpool itu juga telah berunding dengan ejen Wilfried Zaha.
Henderson, 33, difahamkan keberatan untuk menyertai Liga Pro Saudi pada ketika ini.
Liverpool telahpun melepaskan James Milner, Roberto Firmino, Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain pada musim panas ini.
Sementara itu, Al-Ettifaq juga telah membuat tawaran kepada Aubameyang tetapi belum ada perbincangan dengan penyerang berusia 34 tahun itu.

Sekiranya, Aubameyang memilih ke liga Saudi, dia akan menjadi bintang terbaharu Chelsea mengikut jejak N’Golo Kante, Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy.
Dalam temu bual pertamanya sejak menjawat jawatan di Al-Ettifaq, Gerrard menjelaskan dia berpindah ke Asia Barat dengan harapan membantu menjadikan Liga Pro Saudi sebagai ‘liga terbaik di dunia’.
“Kelab itu mempunyai ramai orang yang baik daripada lembaga pengarah hingga orang bawahan.
“Apabila saya pergi ke Saudi, saya mendapat perasaan kekeluargaan sebenar. Mereka membuatkan saya berasa sangat dialu-alukan,” katanya. – AGENSI