PETALING JAYA: Malaysia sedang mempelbagaikan sumber import ubat-ubatan dan peranti perubatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran, selain memperkukuh daya tahan sistem kesihatan negara berdepan ketidaktentuan global.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) juga telah memperkenalkan mekanisme tindak balas pantas termasuk penyediaan laluan akses khas bagi peralatan kritikal ketika berdepan krisis.
Beliau berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan serentak dengan pengukuhan stok penampan melalui sistem berperingkat melibatkan bekalan antara satu hingga tiga bulan di fasiliti kesihatan serta tambahan dua bulan di peringkat konsesi.
Katanya, kerajaan turut mengamalkan pendekatan berasaskan data dalam pengurusan stok bagi mengelakkan pembaziran dengan mengambil iktibar daripada pengalaman pandemik Covid-19.
“Pengurusan stok memerlukan kos pembiayaan dan ruang penyimpanan yang besar. Oleh itu, pendekatan kita adalah pintar, strategik dan berhemat.
“Kita tidak sekadar memenuhi gudang, sebaliknya memastikan item yang diperlukan tersedia pada masa yang tepat tanpa risiko pembaziran.
“Penggunaan rizab hanya akan dilaksanakan dalam keadaan tertentu seperti gangguan bekalan yang serius, kelewatan operasi atau kecemasan kesihatan awam,” katanya dalam satu program bual bicara disiarkan hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, harga ubat-ubatan di negara ini meningkat antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan kos logistik, pengangkutan dan bahan api.
Peningkatan tersebut turut memberi kesan kepada kos peranti perubatan yang mencatatkan kenaikan lebih tinggi sebelum itu.
Harga peranti perubatan pula dikesan meningkat lebih ketara susulan gangguan penghantaran konsainan pada peringkat awal.
Dzulkefly berkata, perkembangan global telah mempercepatkan peralihan Malaysia daripada pendekatan berasaskan krisis kepada usaha menjadi peneraju serantau lebih mampan dalam sektor pembuatan penjagaan kesihatan.
“Kita tidak lagi sekadar bertindak balas terhadap gangguan, sebaliknya sedang membangunkan ekosistem bernilai tinggi yang direka untuk daya tahan jangka panjang.
“Dasar keterjaminan ubat kebangsaan di bawah inisiatif MyMedSecure menjadi teras dalam memperkukuh keupayaan domestik, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada import melalui pengeluaran tempatan bahan farmaseutikal aktif serta produk siap kritikal,” katanya. – UTUSAN










